Thursday, 11 October 2012

6 Hari Yang Celaka

 
(Artikel ini merupakan sambungan kepada artikel lepas yang bertajuk Kemerdekaan Si Penjajah)

10 Jun pada 1967 yang lalu merupakan penamatan 6 hari yang penuh celaka bagi tentera Israel, namun permulaan kepada kecelakaan umat Islam seluruhnya. Bagi rakyat Palestin, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, pisang berbuah dua kali, selepas peristiwa An-Nakba (malapetaka) 1948 mereka terpaksa pula menghadapi An-Naksah (malapetaka berulang) 1967.

PASCA 1948

Selepas tewas dalam Perang 1948 landskap politik di timur tengah terus berubah dan bergolak. Pasca perang 1948 menyaksikan dunia ketika itu berada dalam situasi Perang Dingin antara 2 buah kuasa baru dunia ketika itu iaitu Amerika Syarikat (USA) dan Kesatuan Soviet (USSR) yang masing-masing ingin melebarkan pengaruh kekuasaan mereka, tidak terkecuali di Negara-negara Arab. Negara-negara Arab ketika itu mengalami masalah politik dalaman yang teruk sekali, ditambah lagi dengan isu Israel dan Palestin. Di Mesir, revolusi tentera menggulingkan monarki berlaku dan Gamel Abdul Nasser , seorang nasionalis Arab menjadi Presiden. Sekutunya Syria, diperintah oleh Parti Radikal Baath yang berazam menghalau Israel ke laut.


KRISIS SUEZ

British yang membantu kewujudan Israel terus menjadi tidak popular di Negara-negara Arab. Terutamanya di Mesir. Apabila Nasser yang ketika itu dilantik menjadi Presiden Mesir telah memiliknegarakan Terusan Suez . British bersama Perancis dan Israel telah bergabung untuk melancarkan serangan ke atas Mesir. Tindakan Nasser menyebabkan kepentingan ekonomi dan politik British terjejas. Maka Krisis Terusan Suez 1956 berlaku. Perang yang berlaku selama hampir sebulan itu turut melibatkan campurtangan USA dan USSR yang mendesak Israel, British dan Perancis menghentikan serangan. Bagi USA dan USSR, Nasser dan Mesir merupakan ‘potential client’ bagi melebarkan pengaruh mereka di Timur Tengah.

Walaupun Mesir tewas dari segi ketenteraan, krisis tersebut berjaya menaikkan reputasi Nasser sebagai ketua Negara Arab. Krisis itu juga menamatkan penguasaan British-Perancis di timur tengah apabila Perdana Menteri British Anthony Eden dan Perdana Menteri Perancis Guy Mollet meletak jawatan. Selepas Krisis Suez, PBB menghantar pasukan United Nation Emergency Force(UNEF) untuk mengawal sempadan Mesir-Israel.



PUNCA

Perang 6 Hari dilatari oleh pelbagai punca dan isu yang membawa kepada meletusnya perang tersebut. Antaranya ialah perebutan sumber air antara Israel dengan Syria dan Jordan. Israel membina empangan untuk menghalang air ke Jordan. Syria , Jordan dan Lubnan kemudiannya membina terusan untuk mengalihkan air dari Israel ke negara masing-masing. Israel mengambil janlan penyelesaian dengan menembak para pekerja binaan tersebut.

Selain itu isu sempadan juga timbul. Sempadan Israel yang sangat panjang dengan Jordan dan Syria menyebabkan kawasan tersebut sentiasa tegang dengan serangan dari kedua-dua pihak. Syria dengan bantuan USSR sering menyerang utara Israel dari Bukit Golan. Penubuhan Fatah dan PLO dalam perjuangan rakyat Palestin yang mendapat restu Negara-negara Arab. Israel bertindak balas dengan memusnahkan mukim Es Samu, perkampungan perlarian Palestin di Jordan Serangan yang yang dinamakan Operasi Shredder ini dilancarkan oleh Golda Meir kerana bimbang perlarian Palestin akan membalas dendam terhadap Israel. 200 rumah musnah dan 4000 perlarian syahid.

Dan kemuncaknya ialah Perjanjian pertahanan Mesir. Mesir telah mengadakan perjanjian pertahanan dengan Syria dan Jordan sebelum peperangan berlaku. Melalui perjanjian ini juga Mesir bertindak mengepalai satu pasukan tentera yang besar untuk menghancurkan Israel. Sudah tentu Israel melihat perjanjian ini merupakan sesuatu yang berbahaya kepada kelangsungan penubuhannya. Mesir memiliki pasukan tentera yang terkuat hasil bantuan dari USSR, lebih-lebih lagi tentera udaranya. Syria pula merupakan sekutu kuat Mesir dan tenteranya seringkali mengebom utara Israel dari Bukit Golan. Pasukan tentera Jordan pula dilatih oleh British dan juga USA.

SEBELUM PERANG


Nasser, kiri, bersama juruterbang di pengkalan udara di Sinai semasa melawat kedudukan tentera Mesir dikawasan sensitive di sempadan sebelum Perang 6 Hari.



Nasser memulakan tindakan ke atas Israel dengan menutup Selat Tiran kepada kapal-kapal Israel. Pasukan UNEF diminta oleh Nasser untuk berundur dari Sinai. Tindakan Nasser ini telah meyakinkan negara Arab lainnya bahawa mereka sudah bersedia untuk berperang dengan Israel. Malah Nasser sendiri berkata kepada wakil UNEF “Oh, sir, I will meet you for lunch in Tel Aviv.”Kemudiannya Nasser mengarahkan hampir 45 ribu tenteranya memasuki dan mempertahankan Sinai. Tindakan agresif Nasser inilah yang ditunggu Israel untuk menjustifikasikan peperangannya ke atas negara Arab.

Sebenarnya, menerusi biografi Abba Eban, Menteri luar Israel ketika itu, dia mendapat maklumat bahawa Nasser tidak menginginkan peperangan dan berjanji kepada U Thant, Setiausaha Agung PBB ketika itu. Terutama apabila USSR mengugut untuk tidak menyokong tindakan Mesir yang menggugat kepentingannya. Eban pergi ke Washington untuk mendapatkan sokongan USA. Namun USA menyatakan bahawa melalui perisikannya tentera Mesir di Sinai dalam kedudukan bertahan.

Walaupun tidak mendapat sokongan USA, Israel merancang untuk melancarkan peperangan. Selepas kehilangan sokongan dari USSR, Nasser membatalkan rancangannya untuk melakukan serangan mengejut ke atas Israel. Pada 1 Jun Moshe Dayan dilantik sebagai Menteri Pertahanan Israel dan 3 Jun Israel sudah bersiap sedia untuk berperang.

6 HARI YANG CELAKA

Pada pkul 7.45 pg 5 Jun menandakan hari pertama peperangan menyaksikan tentera udara Israel melakukan serangan terlebih dahulu dengan melancarkan pre-empitive strike ke atas Mesir memusnahkan kekuatan angkatan tentera udara Mesir. Operasi yang diberi nama Operation Focus (Moked) ini ternyata merupakan kunci kemenangan Israel dalam Perang 6 hari. Melalui operasi ini tentera udara Israel melancarkan serangan kilat ke atas pangkalan jet pejuang Mesir yang kekurangan pertahanan serangan dari udara. Gelombang serangan dilakukan sebanyak 3 kali. Hasilnya, kekuatan tentera udara Mesir dimusnahkan dalam masa 3 jam, tentera udara Syria dalam masa 2 jam dan tentera udara Jordan dalam masa 9 minit. Sepanjang peperangan ini tentera udara Israel mendominasi sepenuhnya ruang udara. Dalam peperangan ini tentera Arab kehilangan 452 jet pejuang manakala tentera Israel hanya 46.

Operation Focus – Pre Empitive Strike yang dilancarkan tentera Udara Israel ke atas pengkalan Udara Mesir.

Kemusnahan tentera udara Mesir menjatuhkan moral tentera Mesir di Sinai. Mereka terdedah kepada serangan tentera udara Israel tanpa dibantu oleh tentera udara Mesir dan pasukan payung terjunnya. Tentera Mesir di Sinai kemudiannya diserang oleh jet pejuang Israel. Mereka melarikan diri sehingga ke Terusan Suez bagi menghindari serangan darat Infantri Israel yag dipimpin oleh Israel Tal, Abraham Yoffe dan Ariel Sharon. Dalam masa 4 hari, Israel Berjaya menawan Sinai dan Gaza daripada tentera Mesir.

Menteri Pertahanan Israel semasa Perang 6 hari, Moshe Dayan

Syria bersetuju menyertai Mesir apabila Nasser memberi maklumat palsu mengatakan bahawa tentera Mesir Berjaya menumpaskan tentera udara Israel dan pasukan artillerinya akan menawan Tel Aviv dalam masa terdekat. Namun, apabila jet pejuang Israel melancarkan serangan mengejut ke atas pasukan tentera Udara Syria selepas selesai memusnahkan tentera udara Mesir, barulah mereka tahu berita tersebut tidak benar.Selepas kemusnahan pasukan udara dan serangan hebat jet pejuang Israel di kedudukan tentera mereka di Golan, akhirnya pada pukul 3 petang 9 Jun, tentera Syria bersetuju untuk mengadakan genjatan senjata. Namun 4 jam kemudiannya, iaitu kira-kira pukul 7 petang, Dayan mengarahkan tentera Israel untuk menakluki dan merampas Bukit Golan dari Syria. Dayan mengatakan tindakan tersebut adalah sebagai balasan Syria bersekutu dengan Mesir dalam menyerang Israel.

Sementara itu di Jordan pula berlaku perang “olok-olok” dan “separuh hati” antara Jordan dan Israel. Kalau nak diikutkan perkiraan Tentera Jordan hanya memerlukan 2 jam sahaja untuk membelah Israel kepada 2 dan menakluki pusat pentadbiran Israel yang hanya terletak 17 km dari Tebing Barat. Raja Hussein bukanlah sekutu rapat Mesir. Berbeza dengan Mesir dan Syria yang merupakan Republik Arab, Jordan merupakan sebuah negara monarki. UK dan USA melaburkan 500 Juta US Dollar untuk membina Jordan demi melindungi kepentingan Israel dari serangan Syria dan Iraq. Raja Husein berat hati untuk menyertai peperangan, tetapi Nasser Berjaya meyakinkan Raja Hussein bahawa radar menunjukkan pasukan tentera udaranya sedang menuju ke Israel (sebenarnya radar tersebut menunjukkan jet pejuang Israel baru pulang selepas menghancurkan pengkalan udara Mesir.)

Raja Husein dan Nasser di Kaherah


Raja Husein sebenarnya terhutang budi kepada British dan kurang mempercayai tuduhan Nasser bahawa Israel ingin menakluki negara Arab termasuk Jordan. Namun apabila tentera Jordan tiba di Jerusalem barulah terbukti kebenaran dakwaan Nasser. Walaupun tentera Jordan menyerang Tel Aviv, namun semuanya sudah terlambat apabila Israel sudah membina tembok Tebing Barat dan kubu.

Sepanjang peperangan, Dayan mengarahkan tenteranya untuk tidak memasuki Jerusalem. Namun apabila mendapat maklumat bahawa PBB akan mengadakan gencatan senjata, Dayan memerintahkan tentera Israel supaya menawan kota tersebut, walaupun tanpa mendapat arahan parlimen terlebih dahulu. Dari kota tersebut, tentera Israel telah membina kubu dan melancarkan serangan keatas tentera Jordan. Tentera Israel mahukan lebih dari sekadar kota Jerusalem, mereka mahukan keseluruhan Tebing Barat. Apabila mendapat maklumat perisikan bahawa Raja Hussein mengarahkan tentera Jordan berundur dari Sungai Jordan , barulah tentera Israel menakluki keseluruhan Tebing Barat.

KESIMPULAN

Negara-negara Arab ditewaskan sekali lagi oleh Israel. Semangat nasionalisme Arab yang dikobarkan oleh para pemimpin Negara Arab terutamanya Nasser sebenarnya sedikitpun tidak membantu kepada perjuangan untuk membebaskan Palestin dari Israel. Memburukkan keadaan, seolah-olah masalah Palestin hanyalah masalah orang Arab , bukannya masalah umat Islam secara keseluruhannya.


Keluasan Israel bertambah tiga kali ganda. Israel merampas Semenanjung Gaza dan Sinai dari Mesir, Tebing Barat dan Jerusalem Timur dari Jordan serta Dataran Tinggi Golan dari Syria. Di Sinai juga Israel telah membina sebuah kubu yang didakwa oleh mereka mustahil untuk ditawan iaitu Kubu garisan Bar Lev yang berharga 500 juta Dolar US. Mitos kekebalan tentera Israel juga tersebar. Malah, Israel juga semakin yakin tenteranya tidak boleh ditewaskan.

Tentera Israel meraikan kejayaan mereka menakluki Sinai

Kemenangan Israel sebenarnya juga dibantu oleh ejen-ejen perisikannya yang bertaburan di Negara-negara Arab. Kejayaan Israel banyak dibantu oleh ejen-ejen perisikan MOSSAD dan juga CIA dalam melakukan sabotaj, pengintipan dan mencuri maklumat sulit ketenteraan pihak lawan. Antara ejen-ejen tersebut ialah Eli Cohen dan Wolfgang Lotz. Eli Cohen yang menjawat jawatan tinggi dalam angkatan tentera Syria dalam penyamarannya mengarahkan tentera Syria menanam pokok untuk tujuan perlindungan. Akhirnya, pokok ini dijadikan sasaran penembakan oleh jet pejuang Israel. Selain dari mereka ada juga beberapa ejen yang menjawat jawatan penting dalam kerajaan Syria dan Iraq. Di Iraq, seorang tentera udara yang diupah MOSSAD, Munir Redfa berjaya menghadiahkan 1 pesawat tentera arab ke Israel untuk tujuan intelligence analysis. Munir Redfa kemudiannya mendapat kerakyatan Israel. Pengkhianatan Munir Redfa ini kemudiannya menjadi tema filem Steal the Sky.

Moral tentera Arab ketika itu juga cepat jatuh, setelah menyaksikan kekuatan udara mereka dihancurkan Israel, tentera darat Mesir yang ketika itu sudah berada di Sinai panic, malah ada yang kelam-kabut meninggalkan kenderaan dan senjata mereka ketika infantry Israel menyerbu masuk ke Sinai. Tentera yang melarikan diri terpaksa berundur sejauh 200KM tanpa kenderaan sebelum tiba di terusan Suez. Kekurangan makanan dan air serta terdedah kepada cuaca panas yang melampau menyebabkan ribuan tentera Mesir terkorban. Malah ada yang mengambil keputusan untuk menyerah diri kepada tentera Israel. Manakala di Syria, diambang kekalahan dan terdesak untuk memintak PBB mengisytihar genjatan senjata, sebuah stesyen radio di Damsyik menyiarkan berita penawanan pusat operasi tentera Syria di Golan 3 jam lebih awal sebelum peristiwa tersebut berlaku.



Tentera Mesir yang ditawan dikawal oleh pasukan Israel selepas Al Arish Sinai ditawan

Aryeh Yitzhaki, ketika perang Aryeh bekerja di Pusat kajian Sejarah IDF Universiti Bar Ilan. Pada 2005 Aryeh mendakwa tentera Israel telah menembak mati seramai 1000 tawanan perang yang merupakan tentera Mesir yang tidak bersenjata. Kerajaan Mesir telah menemui 2 perkuburan besar mayat tawanan perang tersebut. Malah Uri Milstein, pakar sejarah tentera Israel mengakui perkara tersebut dengan berkata; “Pembunuhan semacam itu wajar. Perbuatan itu tidak salah. Sebahagian besar leftenan colonel tentera Israel mengesahkan tindakan itu. Biarlah semua orang tahu akan perkara itu.” Israel akhirnya membayar pampasan kepada keluarga terlibat.

Nasser dan Raja Hussein berpakat untuk meletakkan punca kekalahan tentera Arab terhadap Israel dalam perang 6 hari ke atas bahu USA dan British. Populariti Nasser merudum dan akhirnya digantikan dengan Anwar Sadat.

IBRAH
Kenapa Israel yang sebegitu kecil dapat menewaskan gabungan tentera Negara Arab? Bagi orang Israel, peperangan antara mereka dengan orang Arab seperti kisah David dan Goliath. Kisah ini terdapat dalam kitab agama mereka yang menceritakan kejayaan raja agung mereka David menentang kaum gergasi, Goliath. Manakala, dalam Al Quran pula menceritakan kisah Nabi Allah Daud yang ketika itu seorang pemuda menumpaskan Raja Jalut.

Walaupun Nasser mendapat sokongan ramai dari orang Arab namun Nasser anti kepada gerakan Ikhwanul Muslimin. Ramai pemimpin terpelajar dan ulama Ikhwanul Muslimin ditangkap, dipenjarakan da nada yang dihukum bunuh. Nasser merupakan penyokong ideology nasionalisme Arab dan sekular. Malah ada juga dakwaan mengatakan malam sebelum perang, tentera Mesir mengadakan pesta hiburan dan tarian. Jika tentera Arab merasakan dengan hanya bergantung kepada kekuatan dan kecanggihan angkatan tentera sahaja tanpa disertai sokongan spiritual dan ruhaniyyah daripada Allah membolehkan mereka menang peperangan dengan Israel, mereka silap besar.

Kelihatan mayat seorang tentera Mesir disisi kereta kebal yang musnah akibat serangan udara

Bagi golongan Kristian Zionis, kewujudan Israel dan orang Yahudi di sana perlu dipertahankan bagi memenuhi ramalan kedatangan ‘Penyelamat’ mereka iaitu Christ pada akhir zaman. Dan golongan inilah ketika ini berpengaruh besar dalam pentadbiran USA. Manakala bagi golongan Ultra Orthodoks Yahudi pula, mereka percaya tuhan Yahweh menjanjikan tanah dari Sungai Nil hingga ke Sungai Furat kepada bangsa Israel. Rabbi Harav Tzvi Yehudah Kook beranggapan Perang 6 hari ini merupakan petanda dari tuhan’ Kelangsungan Yahudi di Israel merupakan petanda kedatangan “Raja Yahudi” akhir zaman akan tiba. 3 minggu sebelum perang Rabbi Harav memberi ucapan berikut ; ”….I could not accept the fact that indeed 'they have...divided My land' (Joel 4:2)! Yes [and now after 19 years] where is our Hebron--have we forgotten her?! Where is our Shehem, our Jericho--where?! Have we forgotten them?!" (Rabbi Harav tidak berpuas hati dengan sempadan Israel sebelum 1967 yang tidak memasukkan Tebing Barat ke dalam Israel).Selepas perang Rabbi Harav diangkat statusnya sebagai seorang nabi.

Dikatakan juga apabila tentera Zionis Israel Berjaya menakluki Masjidil Aqsa, mereka berpesta dan melaungkan “Agama Muhammad sudah tiada !” “Hari pembalasan untuk Khaybar*” 

Kelihatan kenderaan tentera Israel bergerak menuju Kubah As- Sakhrah di Kompleks Masjidil Aqsa yang dikenali sebagai Temple Mount dikalangan orang Yahudi selepas menakluki Kota Lama Jerusalem semasa Perang 6 Hari

*Perang Khaybar., dimana Rasulullah bersama 1400 tenteranya berjaya mengalahkan 10,000 tentera Yahudi di Khaybar.

RUJUKAN

Israel Is not Real, 2009, Anwar M Aris
Palestin meniti rentetan sejarah, 2004, Dr.Zainur Rashid & Dr Hussaini
Zionism and Israel Encyclopedic Dictionary - 6 Days War www.zionism-israel.com
Wikipedia















2 comments:

https://www.youtube.com/watch?v=inc0b2QtHso

Trima kasih atas info ini...

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...