Tuesday, 30 October 2012

Operasi Lalang 1987


(AMARAN: Artikel ini mungkin terlalu ekstrem bagi sesetengah orang. Tulisan ini  hanyalah bertujuan untuk menceritakan kembali peristiwa yang berlaku pada 27 Oktober 1987 yang dikenali sebagai Operasi Lalang, perlu diingatkan bahawa penulis bersikap neutral dalam isu ini. Tidak ada unsur rasis ataupun propaganda jauh sekali untuk menimbulkan sikap curiga. Sebarang kesulitan amat dikesali.Sekiranya berasa kurang selesa anda dinasihatkan untuk tidak meneruskan pembacaan.)

Kononnya sibuk mencari siapa dalangnya siapa perancangnya. Masing-masing mahu menjadi juara. Mahu menjadi pembela. Tanpa disedari hikmah dan ibrah disebalik suatu peristiwa gagal dihayati dan dipelajari. Gagal diinsafi dan direnungi. Hasilnya kealpaan terhadap sejarah lalu menghukum masa hadapan yang belum tentu. Ini bukan kisah politik yang penuh retorik. Ini kisah negara saya, Malaysia.

Sebahagian besar tulisan ini diambil dari Kertas Putih yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri pada 14 Mei 1988 berkenaan laporan Operasi lalang yang berlangsung dari 27 Oktober 1987 sehingga Disember tahun tersebut. Selain itu pandangan dan tulisan dari beberapa artikel juga diambil kira.

PENDAHULUAN

Walaupun peristiwa ini berlaku pada 1987, namun teras permasalahan boleh kita telusuri seawal penjajahan British di Tanah Melayu lagi. Kunci kepada kejayaan British dalam menodai dan menjarah Malaysia merupakan teras polisi pemerintahannya iaitu “Divide and Rule”, mereka mengasingkan kaum mengikut ekonomi dan petempatan (polarisasi kaum), mereka juga mengasingkan agama dalam kehidupan harian rakyat (sekularisme). Kesan penjajahan British ke atas Malaysia amat dasyat dan masih kekal sehingga ke hari ini. Antara peninggalan British ialah amalan demokrasi dan sistem parlimen ala Winchester , sistem pendidikan Vernakular, ekonomi bercorak kapitalis dan undang-undang civil law. Ramai yang tidak menyedari bahawa akibat dari tinggalan British inilah yang menyumbang kepada kegoyahan dan ketidaktenteraman yang berlaku di Malaysia kemudian harinya.

ISU-ISU

Operasi lalang sebenarnya merupakan hasil daripada letusan isu-isu panas yang meruncing bermula sejak awal tahun 1980an, dan akhirnya meleret-leret sehingga terjadinya peristiwa 27 Oktober itu. Antara isu-isu utama tersebut ialah;

Isu sensitiviti kaum





Terdapat beberapa isu yang mewujudkan ketegangan antara kaum, terutamanya antara kaum cina dan melayu. Antaranya ialah isu pembangunan Bukit Cina di Melaka. Ketua menteri Melaka ketiku itu Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik ingin memajukan kawasan di Bukit Cina. Oleh itu beberapa kubur lama cina terpaksa dipindahkan. Rancangan ini telah dijadikan DAP sebagai isu perkauman. DAP telah mengadakan pelbagai kegiatan seperti penyabaran poster, aktiviti berjalan kaki dan upacara mengumpul tandatangan bagi ‘menyelamatkan’ Bukit Cina. Malah dalam satu ceramahnya, Lim Kit Siang menyatakan bahawa, pembangunan Bukit Cina itu sebagai satu muslihat Kerajaan untuk melenyapkan segala jasa-jasa kaum Cina terhadap negara dan juga sebagai cabaran terhadap kebudayaan dan agama orang-orang Cina  Selain itu isu ikrar sekolah di Melaka juga ditimbulkan. Pengerusi DAP Melaka ketika itu mendakwa bahawa murid bukan Islam dipaksa meminta restu daripada Allah dalam bacaan ikrar mereka.


Hak istemewa dan identity orang melayu  terus diserang lagi. DAP telah mengutuk Dasar Kebudayaan kebangsaan yang diperkenalkan. Perlaksanaan dasar tersebut menurut di DAP menjatuhkan kebudayaan kaum lain (Lim Kit Siang, 1983) dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam (P Patto, 1984). Pada 27 Mac 1983, 15 pertubuhan Cina termasuk Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (GPGSCM), Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (PPLPSCM) dan Dewan Perhimpunan Cina Selangor (DPCS),telah mengeluarkan satu dokumen yang bertajuk "Joint Memorandum On National Culture" yang menyoal kedudukan kebudayaan Melayu sebagai asas kebudayaan Malaysia.


Kemudiannya pada 12 Oktober 1985, sebanyak 27 pertubuhan Cina Malaysia, telah membuat satu Pengisytiharan yang di antara lain mendakwa bahawa orang-orang bukan Melayu telah tertindas dari segi politik,ekonomi dan kebudayaan,dan menyoal beberapa perkara yang dipersetujui sebelum Merdeka seperti soal bahasa. Lim Guan Eng dalam satu kenyataannya menyatakan bahawa polisi satu bahasa satu kebudayaan yang diperkenalkan BN merupakan satu usaha untuk memansuhkan kebudayaan dan bahasa ibunda kaum minority lain. Kemuncaknya, Konvensyen MCA Selangor pada 2 november 1986 telah mengeluarkan resolusi yang berbunyi, "Based on historical facts, Malaysia's three major races are orginated from other countries. Therefore,none of them should brand the other as immigrants and claim themselves as natives "

Kristianisasi melayu

Gerakan Kristianisasi orang melayu telah dikepalai oleh Neglected People's Workers (NPW) , dipimpin oleh Philip Cheong @ Cheong Ah Kow yang mendakwa telah Berjaya mengKristiankan 7 orang melayu. Philip mendapat bantuan seorang melayu Kristian bernama Yeshua Jamaluddin @ Jamaluddin Othman yang memperolehi Diploma in Theology dari Far Eastern Biblical College Singapura. NPW sering mengadakan kelas Bible di rumah Hilmy Hj Mohd Nor dan badan ini juga mempunyai beberapa strategi mendekati orang melayu seperti duduk dilantai semasa beribadat, menggunakan rehal untuk mengalas bible, menggunakan pakaian melayu seperti songkok, baju melayu dan kain pelikat. Malah rancangan jangka panjang NPW ialah membina sebuah gereja mengikut senibina masjid.

Maklumat ini kemudiannya diketahui oleh beberapa orang seperti Salleh Omar dan kamaluddin hj Tahir dan dihebahkan melalui ceramah dibeberapa buah masjid. Perkara ini menimbulkan kegelisahan umat Islam berbangsa melayu ketika itu. Isu ini kemudiannya digunakan oleh PAS. Khalid Abdul Samad, Setiausaha Pemuda PAS membuat kenyataan bahawa pada tahun 2000 Malaysia akan dikristiankan seluruhnya. Manakala The New Straits Time menyiarkan kenyataan Hj Yusof Rawa (Yg Dipertua Agong PAS) yang mendakwa 66,000 orang Melayu meninggalkan Islam. Dewan Pemuda PAS Pusat pula mengadakan Jawatankuasa Bertindak Anti-Kristianisasi yang bertanggungjawab mengadakan seminar, penyebaran risalah serta rapat umum.

Kemuncaknya ialah Perhimpunan Menentang Kristianisasi di Sitiawan pada 29 Ogos 1987. Ketika itu Mohamad Sabu mendakwa 10,000 orang Melayu telah diKristiankan. DAP telah membuat laporan polis atas alasan ceramah dan kain rentang semasa perhimpunan tersebut menghina agama pihak lain. Manakal sebilangan ahli PAS pula telah menubuhkan kumpulan “Jundullah” yang bertujuan untuk mewujudkan pemerintahan Islam di Malaysia melalui tindakan militandan menjadi benteng orang Islam sekiranya berlaku rusuhan kaum. Penubuhan kumpulan ini bagaimanapun tidak direstui PAS.

Penularan ajaran Marxist dan aktiviti komunis

Manakala terdapat usaha untuk menyebarkan fahaman Marxist dikalangan rakyat kelas pertengahan. Golongan ini bertujuan untuk mewujudkan system bercorak Komunis di Malaysia. Antara kumpulan yang terbabit ialah PENTAS yang bertanggungjawab menjalankan beberapa strategi Barisan Bersatu komunis seperti srategi "conscientization" . Melalui startegi ini rakyat kononnya disedarkan bahawa segala penderitaan mereka disebabkan penindasan oleh system yang sedia ada, oleh itu rakyat perlu berjuang menukarkan system sedia ada dan digantikan dengan system yang bersifat kesamarataan. Melalui strategi ini kumpulan Marxist menyelinap masuk dalm isu-isu rakyat seperti isu Papan dimana sekumpulan penduduk di Papan, Lahat dan Mengelembu membantah kewujudan kilang Asia Rare Earth yang didakwa kononnya mengeluarkan bahan radioaktif yang boleh mengancam kesihatan penduduk-penduduk di sekitarnya (sounds familiar?). Strategi ini bertujuan menghakis kepercayaan rakyat terhadap system yang sedia ada. Antara tokoh kumpulan ini ialah Dr.Mohd.Nasir Hashim, Chee Heng Leng dan Chow chee Keong.

Parti Komunis Malaya (PKM) juga memainkan peranan dengan usaha mereka untuk menubuhkan kumpulan militia dari golongan pelajar melayu yang radikal. PKM masih lagi berhasrat untuk menubuhkan Republik Komunis di Malaysia walaupun pengaruh mereka semakin lemah. PKM terpaksa memperalatkan isu semasa dan mempergunakan golongan pelajar melayu yang radikal. PKM melalui setiausaha agungnya chin Peng bersetuju untuk membiayai dana dan memberi latihan kepada Kumpulan Bersenjata Melayu yang bakal dibentuk. Golongan pelajar ini juga bertanggungjawab menghidupkan semula semangat militia dikalangan mahasiswa dengan kempen, seminar dan forum. Gelombang kebangkitan mahasiswa pada era 1974 diingati dan diraikan.

Peristiwa Di Universiti Malaya(UM)




Apabila UM mengambil keputusan menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengajaran subjek matapelajaran pilihan, keputusan ini mendapat bantahan keras dari DAP. Dan pada 17 0gos 1987, DAP telah mengadakan perhimpunan haram di pintu masuk UM. Perhimpunan DAP yang diketuai V David, Dr Eng Seng Chai dan Lim Guan Eng akhirnya bertukar menjadi pertengkaran dan caci-maki antara mereka dengan pelajar Melayu di university tersebut. Cacian seperti "Cina balik Tongsan "dan "Melayu balik Indonesia", serta "Kalau awak berani keluarlah",telah dilaung-laungkan. Selain itu DAP juga membawa sepanduk provokasi yang tertulis,

"MIC,MCA DAN GERAKAN-JANGAN MENGGADAI MARUAH"
"MIC,MCA- SELEEPING BEAUTIES"
"MCA dan MIC- LETAK JAWATAN "
"MENGAPA MIC JADI PENDIAM "
"MCA TIDAK BERBUAT APA-APA "
"MIC,MCA JUAL MARUAH "

Penuntut melayu di UM kemudiannya mengadakan perhimpunan balas pada 20 Ogos tanpa kebenaran pentadbiran Universiti. Namun sekali lagi DAP yang diketuai Dr Eng Seng Chai mengadakan bantahan dan mogok lapar di pintu masuk universiti.

Kepentingan politik

Bagi memenangi undi dari kaum Cina, DAP seringkali menggunakan beberapa isu untuk memperlihatkan DAP terkehadapan dalam membela kepentingan kaum cina. Tindakan DAP mengundang cabaran dan tekanan kepada MCA untuk memenangi undi kaum cina. Kedua-dua parti tersebut berlumba-lumba mengeluarkan kenyataan membela kepentingan kaum cina di negara ini, dalam masa yang sama mempersoalkan dasar negara dan hak istimewa bumiputera.

Dalam isu kerugian Koperasi Pengambilan Deposit yang ditaja MCA, rata-rata pelabur yang mengalami kerugian ialah pelabur cina. Orang cina kemudiannya menuntut campurtangan kerajaan bagi menyelamatkan koperasi berkenaan. Lim Kit Siang telah mendakwa Kerajaan telah mengamalkan dasar diskriminasi kaum dalam menyelesaikan isu koperasi pengambilan deposit manakala Lim Guan Eng pula telah mendakwa Kerajaan tidak bertindak membantu menyelesaikan masalah koperasi oleh sebab pelaburnya terdiri daripada orang-orang Cina.  Tekanan dari DAP menyebabkan beberapa tokoh MCA membuat tuntutan yang lebih lantang daripada DAP. MCA melalui Presidennya Dato'Ling Liong Sik ,telah mengumumkan pendiriannya,bahawa semua pemimpin-pemimpin MCA yang memegang jawatan dalam Jemaah Menteri (Kabinet) dan Pentadbiran Kerajaan akan meletakkan jawatan sekiranya pendeposit-pendeposit koperasi tidak menerima bayaran pulangan penuh.

TRAGEDI OKTOBER

Kemuncak kepada segala masalah yang dipendam ialah isu penempatan penempatan guru-guru tanpa kelayakan Mandarin di SRJK(C). pada bulan Ogos, Kementerian Pendidikan yang diketuai menterinya ketika itu, Dato Seri Anwar Ibrahim telah menghantar kira-kira 100 orang guru sekolah yang tidak mendapat pendidikan Mandarin ke sekolah ke SJKC. Tindakan ini mendapat bangkangan terutamanya dari pertubuhan Dong Jiao Zong dan menggesa kementerian menarik balik perlantikan tersebut. Akhbar-akhbar cina pula mula memainkan isu sensitive. MCA yang dicabar DAP sebelum ini telah menyiarkan kenyataan keras dalam bulletin parti mereka dengan menyatakan, "....Our party reiterates its stand: the MCA will swim or sink with the Chinese Primary Schools...". walaupun mendapat tekanan, Anwar Ibrahim tetap tidak berganjak dengan keputusan tersebut.




Pada 11 Oktober 1987, kira kira 2000 orang terdiri dari ahli parti politik yang majoriti ahlinya berbangsa Cina iaitu MCA, DAP dan GERAKAN disertai dengan 15 pertubuhan cina telah mengadakan perhimpunan di tokong Khean Hou di Kuala Lumpur. Antara yang hadir ialah Lee Kim Sai dan Lim Kit Siang. Perhimpunan ini dengan lantang menuntut pihak kerajaan menyelesaikan masalah SRJK(C) dan meluluskan beberapa resolusi yang diantaranya meminta pelajar SRJK(C) memulau kelas. Hasilnya 30,000 pelajar tidak menghadirkan diri ke kelas. Walaupun rancangan 3 hari boikot itu dibatalkan.



UMNO, terutama sayap Pemudanya begitu kecewa dengan tindak-tanduk Lee Kim Sai dan masyarakat Cina. Pemuda UMNO, sebagai raksi balas perhimpunan 11 Oktober itu, telah mengadakan perhimpunan balas pada 17 Oktober 1987 di Stadium TPCA Jalan Raja Muda yang dihadiri kira-kira 20,000 orang. Perhimpunan ini juga turut disertai beberapa pertubuhan orang melayu diantaranya GPMS serta mahasiswa melayu dari universiti tempatan. Dalam perhimpunan ini beberapa ungkapan keras telah diluahkan, antaranya;

"LUCUTKAN KERAKYATAN PENENTANG DYMM RAJA-RAJA MELAYU"
"ANWAR JANGAN TAKUT DENGAN CINA"
"13 MEI KINI BERMULA "
"BASAH IA ( KERIS) "DENGAN DARAH CINA"

Kedua-dua pihak menuntut pengunduran Lee Kim Sai dan Anwar Ibrahim dari kabinet kerajaan. Sementara itu Najib Razak yang merupakan orang penting Pemuda UMNO mengetuai perarakan orang Melayu di Kampong Baru mengakibatkan banyak kedai yang dimiliki orang cina tutup. UMNO kemudiannya bercadang untuk mengadakan sambutan ulangtahun penubuhan yang ke 41 secara besar-besaran di Kuala Lumpur dan dijangka seramai 500,000 orang akan hadir. Namun kerajaan tidak membenarkan sambutan tersebut.

RUSUHAN KAUM……???

Jika nak diikutkan keadaan, situasi dan ketegangan, rusuhan berdarah pada 13 Mei 1969 boleh berulang semula pada saat itu juga. Namun wujurlah dengan rahmat tuhan ia tidak berulang di bumi Malaysia ini. 3 peristiwa berlaku menyebabkan rusuhan kaum tidak terjadi. Pertama, perhimpunan orang-orang melayu akhirnya bersurai apabila hujan berlaku lewat petang hari tersebut. Memang benarlah kata orang, hujan itu rahmat tuhan. Air dari langit dicurahkan untuk memadam dan meredakan api kemarahan orang melayu ketika itu. Mungkin ada yang kata ia hanyalah kebetulan, namun penulis tetap yakin segala peristiwa yang berlaku walau sekecil manapun ia merupakan rencana tuhan yang maha bijaksana.

Kedua, merupakan Peristiwa Prebet Adam Jaafar pada 18 Oktober 1987, yang dikatakan telah mengalami tekanan jiwa, menembak secara rambang terhadap orang ramai di kawasan Chow Kit menggunakan M16. Terdapat perbezaan mengenai berapa dan siapa yang terkorban, tapi cukuplah penulis nyatakan bahawa hari itu, setidak-tidaknya seorang melayu dan seorang cina mati tembak. Situasi itu menyebabkan keadaan di KL ketika itu lengang. Banyak juga kedai yang ditutup (bimbang ketegangan sebelum peristiwa ini boleh mencetuskan rusuhan kaum)



Sedikit mengenai Adam Jaafar, terdapat beberapa teori mengenai kenapa Prebet Adam mengamuk. Yang femes, Prebet Adam mengamuk kerana mengalami kemurungan setelah adiknya mati dipukul sultan. Adiknya itu kerja sebagai caddy golf kepada Sultan. Adiknya dikatakan tertawa apabila melihat bola golf sultan tu tak masuk lubang walaupun berjarak sejengkal. Apalagi, kena libas la dengan kayu golf. Namun, dakwaan itu tidak benar. Laporan temuramah antara akhbar The Star dengan Dato Seri Shafie Abdullah menyatakan bahawa Prebet Adam memang mengalami masalah psikologi. Malam peristiwa itu sebenarnya Prebet Adam di dalam persimpangan sama ada untuk membunuh orang atau membunuh diri sendiri.

Pegawai kesihatan yang memeriksa Prebet Adam Jaafar melakukan tugas dengan semberono sehingga gagal mengesan masalah fizikal dan psikologi Prebet Adam. Dikepalanya terdapat seperti kesan tetakan parang 9 inci , ada yang kata diketuk ayahnya dan ada yang kata dia tersalah masuk kawasan yang ketika itu ada gang fight. Salah seorang kakaknya mengalami post-natal depression. Prebet Adam juga berasal dari antara keluarga termiskin di Pulau Pinang. Rumahnya berhampiran dengan laut, dan berdindingkan kepingan plastic. Lebih malang lagi, rumahnya dijilat api. Ketika kebakaran salah satu palang rumah menghempap kepala kakaknya dan mencederakan kepalanya. Prebet adam terpaksa menjadi saksi kematian kakaknya yang dijilat api. Apabila besar, prebet Adam minat join askar. Dan dia memang power dalam bab menembak tepat. Namun ketika dalam perkhidmatan, dia dibuli dengan teruk oleh seniornya. Ada juga dakwaan mengatakan dia dipaksa melakukan seks oral. Kesemua series of unfortunate events ini meninggalkan kesan psikologi pada prebet Adam. Ketika pembicaraan ada yang menangis ketika mendengar sejarah trauma Prebet Adam.



Ketiga, dan merupakan Vital Point mengapa rusuhan berdarah tidak terjadi merupakan tindakan pantas PDRM yang ketika itu diterajui oleh Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar. Beliau telah mengusulkan satu operasi penangkapan kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri ketika itu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Walaupun Tun tidak bersetuju dengan operasi tersebut dan penggunaan Akta ISA terhadap tahanan, KPN meyakinkan Tun bahawa langkah itu perlu bagi menghalang tercetusnya rusuhan berdarah 13 Mei dari berulang kembali.

KESAN

Hasilnya seramai 119 orang telah ditahan menggunakan Akta ISA disepanjang Operasi Lalang dijalankan. Daripada tokoh-tokoh penting politik dari pelbagai parti, aktivis-aktivis persatuan-persatuan cina dan NGO, ustaz dan guru agama, pertubuhan Kristian sehinggalah pejuang alam sekitar dan penentang aktiviti pembalakan. (Pukul rata, semua kena). Hari pertama operasi menyaksikan 55 orang telah ditahan. Operasi penahanan berlangsung sehingga Disember.Antara mereka yang ditahan waktu itu ialah :

Lim Kit Siang - ketua pembangkang dan Setiausaha Agung DAP
Chandra Muzaffar- Presiden Aliran
Karpal Singh- Timbalan Pengerusi DAP
Lee Kim Sai - Timbalan Presiden MCA
Chan Kit Chee - Naib Presiden MCA dan Perak
Kua Kia Soong- Ketua Publisiti Jawatankuasa Hak Awam
Lim Fong Seng Pengerusi Dong Jiao Zhong (Persatuan Pendidikan Cina)
Halim Arshat - Ketua Pemuda PAS
Mohamed Sabu – tokoh pemuda PAS
Ibrahim Ali Ahli Parlimen Pasir Mas, UMNO
Mohamed Fahmi Ibrahim - Exco Biro Pendidikan Pemuda UMNO



Manakala 4 suratkhabar telah digantung penerbitannya sebagai tindakbalas surat khabar tersebut yang berperanan sebagai medium pertelagahan pendapat antara pemimpin politik dan menyiarkan isu-isu sensitiviti kaum tanpa mengambilkira akibatnya. Akhbar tersebut ialah The Star, The Sunday Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan .  Kerajaan juga menggubal Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, serta Akta Polis. Penggunaan Akta ISA dalam operasi ini juga terus mendapat kritikan ramai

TEORI ALTERNATIF

Walaupun laporan dan pandangan rasmi menyatakan bahawa Operasi lalang diambil untuk memelihara keselamatan negara dari terjerumus semula kepada perstiwa 13 Mei, namun ada beberapa pihak yang memberi teori lain mengenai motif sebenar Operasi Lalang dilaksanakan. Mohamad Sabu (yang kini Timbalan presiden PAS) mendakwa Operasi Lalang bermotifkan politik dimana penahanan yang dibuat adalah berdasarkan satu senarai penahanan yang disediakan oleh orang politik tertentu. Beliau mempersoalkan mengapa beberapa ahli politik seperti Lee Kim Said an Dato Seri Najib Tun Razak tidak ditahan. Beliau juga mendakwa Tun Dr Mahathir sendiri mengarahkan supaya Lee Kim Sai ke Australia manakala Najib ke Jakarta.


Manakala Lim Kit Siang (Penasihat DAP) dalam bukunya The Right to Differ pula mendakwa Operasi Lalang dilakukan untuk memperkukuhkan kedudukan dan pengaruh Tun Dr Mahathir dalam UMNO. Sebelum Operasi Lalang, UMNO berhadapan dengan perpecahan dalaman yang ketara setelah Tun Dr Mahathir menang tipis dalam perebutan jawatan presiden UMNO dengan Tengku Razaleigh Hamzah. Perpecahan ini membahayakan UMNO dan langkah mengatasinya ialah dengan mewujudkan krisis nasional yang dapat menyatukan ahli UMNO untuk menentang musuh yang sama, dalam kes ini kaum cina.

Tan Sri Sanusi Junid pula berpendapat lain. Menurut beliau, tujuan sebenar Operasi Lalang dilaksanakan adalah untuk menghalang UMNO dari melakukan rapat umum rasaksa di Stadium Merdeka. Anwar Ibrahim mahu melancarkan perhimpunan raksasa yang dijangka 500,000 akan hadir di Kuala Lumpur bagi menyambut ulang tahun UNNO ke-41. Semasa Operasi Lalang, semua kegiatan perhimpunan diharamkan bagi meredakan ketegangan yang mungkin membawa kemungkinan rusuhan kaum.

PENUTUP

Skripnya sama. Walaupun latar masa, watak dan tempat sedikit berbeza. Bagi Malaysia , ia seolah-olah déjà vu yang hampir terjadi.

Seandainya semua pihak berpeluk tubuh dan mementingkan diri-sendiri dengan sifat chauvinis dan ultranasionalis, tidak mustahil Malaysia sekali lagi berada di situasi yang sama, tidak kira apa tarikhnya sama ada 13 Mei atau 27 Oktober. Peristiwa ini menjadi saksi kegagalan sebahagian penduduk negara ini mengambil iktibar peristiwa 13 Mei. Sia-sialah tindakan Allahyarham Tun Razak memperkenalkan Rukun Negara sebagai teras perpaduan rakyat negara ini. Ambillah pengajaran dari peristiwa silam dan tempat-tempat lain didunia. Konflik dan rusuhan bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian.

Orang memberi kita merasa,
Orang berbudi kita berbahasa

RUJUKAN

Kertas Perintah 14 Tahun 1988 Ke Arah Memelihara Keselamatan Negara oleh KDN
WIKIPEDIA
Doktor Umum., Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad MPH Publications
The Right to Differ by Lim Kit Siang
Mahathir terlupa dirinya Menteri KDN ketika Ops Lalang oleh Chang Teck Peng MerdekaReview
Pembikinan sebuah negara polis oleh Kua Kia Siong MalaysiaKini
Operasi lalang dari kacamata Sanusi Junid oleh Helmi hanafi KLPOS.COM
Dan beberapa artikel berkaitan Operasi Lalang.

p/s: Cogan kata Malaysia "Bersekutu bertambah Mutu"

Laporan daripada Soal selidik Unit Khas Utusan bertarikh 29/10/2010 menunjukkan daripada 200 responden dalam umur 16 hingga 30 tahun, seramai 126 orang tak tahu cogan kata Malaysia, ada yang menjawab, Malaysia Boleh, Majulah Sukan Untuk Negara , Berkhidmat untuk Negara. ada juga yang menjawab Hip Hip Hooray !!! . rata-rata dari mereka berkata baru pertama kali mereka mendengar Bersekutu Bertambah Mutu merupakan cogan kata Malaysia.




7 comments:

Terbaiklah.Isinya menjelaskan banyak perkara tersirat yang kebanyakan orang tak pernah berusaha nak ambil tahu.

Terima kasih,harap dapat memberi manfaat dan kesedaran kepada ramai pembaca

Dear Sir,
Thank you very much for the info.

terima kasih berkongsi sejarah dokumentasi dengan kami generasi terkini

Masa nie sy Baru dilahirkan skrg dh 31 tahun

Terima kasih diatas info yg diberikan...

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...