(sempena
memperingati peristiwa pembunuhan beramai-ramai penduduk Sabra dan Shatila.
Kepada Syuhada Sabra dan Shatila, kami sedekahkan Al-Fatihah.)
Semua orang ingat pasal Peristiwa 11 September, dimana ‘kononnya’ USA telah diserang oleh Pengganas
Islamis Al-Qaeda yang menyebabkan ribuan pekerja di Menara WTC mati. Sejak dari hari itu, umat Islam tidak kira dimana
sekalipun dilabel sebagai pengganas dan USA mendapat lesen dari PBB untuk melancarkan ‘Perang Salib
baru’ ataupun Perang menentang Keganasan
(War against Terrorism). Hasilnya Afghanistan
dan Iraq ranap berserta ribuan
penduduknya yang tidak bersalah.
Namun, berapa pula yang ingat Peristiwa 16 September? (Maaf ye, ni
bukan pasal Penubuhan Malaysia atau rancangan DSAI jd PM, isu ni kite borak
lain kali). Pada tahun 1982, di sebuah kem pelarian di Beirut Lubnan, di sebuah kawasan bernama Sabra dan Shatila,
hampir 3500 nyawa insan yang tidak berdosa, rata-ratanya ialah wanita,
kanak-kanak dan orang tua menjadi mangsa sembelihan dan korban kepada
segolongan Syaithan yang
bertopengkan manusia
Antara
korban Sabra dan Shatila
PENDAHULUAN
Selepas Perang Kemerdekaan Israel 1948
dan Perang 6 Hari 1967, penduduk Palestin telah dihalau keluar oleh tentera
Israel. Kebanyakan mereka telah dihalau dan dibuang ke negara Arab yang lain
seperti Jordan, Lubnan, Syria, Mesir,
Arab Saudi dan Iraq. Harapan
Israel ialah orang Palestin akan diserap menjadi penduduk negara Arab yang
menerima mereka. Namun hasrat mereka tidak menjadi kenyataan. Penubuhan PLO diketuai Yasser Arafat menunjukkan bahawa walau sejauh mana penduduk
Palestin dibuang sekalipun, jiwa dan raga mereka masih lagi tertinggal di tanah
air mereka. Palestin. Perjuangan PLO mendapat simpati negara Arab yang
ditumpangi seperti Jordan, Syria dan Mesir dan mereka membuka ibupejabat di
Amman, Jordan.
Namun, selepas tragedy Black
September pejuang PLO telah dihalau keluar dari Amman, Jordan. Pejuang-pejuang
PLO ini kemudiannya telah berkumpul semula di Selatan Lubnan dan berpengkalan di Beirut. Lubnan, sejak
sekian lama bukanlah sebuah negara yang aman. Berpuluh-puluh tahun Lubnan
menjadi medan pertempuran Perang Saudara antara rakyatnya yang berbilang puak
dan agama seperti Kristian Maronite,
Sunni dan Syiah. Setiap puak ini
juga mempunyai parti dan organisasi separa-tentera mereka yang tersendiri yang
kadangkala menjadi kawan seperjuangan dan dalam masa yang sama menjadi musuh dalam
selimut. Ditambah lagi dengan pencerobohan Israel
dan Syria, Lubnan sememangnya jarang
merasai keamanan.
PLO menggunakan kawasan Selatan Lubnan sebagai tempat
melancarkan serangan ke atas Israel. Israel menggunakan ancaman ini sebagai
satu peluang untuk meluaskan kuasanya ke atas Lubnan. Maka Israel melancarkan Operasi Litani dan Operasi Peace for Galilea. Israel bersekutu dengan Puak Maronite
Kristian yang dipimpin oleh Parti Kataeb
yang mempunyai pasukan tenteranya iaitu Lebanese
Forces (LF) dibawah Bachir Gemayel
dan juga South Lebanon Army (SLA) dibawah
Elie Hobeika. Parti Kataeb amat
menentang kehadiran pelarian Palestin di Lubnan. Malah Bachir Gemayel pernah
mengatakan bahawa dia ingin sekali meratakan kem pelarian palestin untuk membina
gelanggang tenis. Puak Kataeb menggunakan kesempatan kehadiran Israel untuk
menampan kehadiran tentera Syria yang mengawal Lubnan dan PLO.
Operation Peace for Galilea juga dikenali
dengan Perang Israel-Lebanon, yang memakan masa hampir 18 tahun (1981-2000)
Melalui operasi tersebut, PLO terdesak berundur ke Beirut
setelah menghadapi tentangan sengit. PLO kemudiannya mengadakan perjanjian
dengan Israel melalui Multi national Force (MNF) yang
disertai oleh USA, Perancis dan Itali. Menurut perjanjian tersebut
pejuang PLO setuju untuk berundur keluar dari Beirut, Lubnan dengan syarat
Israel tidak memasuki Beirut. Manakala pelarian
Palestin pula diletakkan dibawah penjagaan MNF sehingga 25 September. Perlucutan
senjata orang awam secara besar-besaran dilakukan. Maka sebaik sahaja pejuang PLO
berundur, yang tinggal di kem perlarian kebanyakannya hanyalah wanita,
kanak-kanak dan orang tua sahaja tanpa senjata untuk perlindungan. Mereka percaya
dibawah perlindungan MNF mereka akan selamat. Sebaliknya, tentera MNF
meninggalkan Lubnan sebaik sahaja pejuang PLO berundur iaitu pada 13 September.
Bachir Gemayel dilantik menjadi Presiden Lubnan. Merupakan seroang
yang pro-Israel, Bachir pernah menghantar 500 orang LF untuk menjalani latihan
di Israel pada awal tahu 1982. Bachir memenangi jawatan presiden selepas tiada
pencalonan lain. Israel amat mengharapkan Bachir menjadi presiden supaya
rancangan Begin (PM Israel ketika itu) untuk menguasai Selatan Lubnan untuk
keamanan Israel selama 40 tahun terlaksana. Namun begitu Bachir tidak setuju
dengan rancangan tersebut. Bachir merancang menggunakan IDF untuk menghalau
Syria dan kemudiannya menggunakan USA untuk menekan Israel keluar dari Selatan
Lubnan.
Bachir Gemayel
TRAGEDI
IDF mendakwa terdapat 2000 pejuang PLO
tidak berundur dan masih berada di kem pelarian Sabra dan Shatila. Dengan situasi
kacau-bilau selepas pembunuhan Bachir, IDF
kemudiannya mara ke Beirut pada 15
September atas alasan memburu saki-baki pejuang PLO dan mengawal keamanan
Lubnan. Lewat petang, tentera Israel telah mengepung kem Sabra dan Shatila dan
mengawal jalan keluar masuk kem dengan menggunakan kereta kebal.
Keesokan harinya, 16
September pihak IDF yang diketuai oleh Ariel Sharon dan beberapa pegawai
tenteranya mengadakan mesyuarat bersama dengan ketua para-military puak Kataeb
yang diketuai oleh Hobeika. Jet pejuang Israel melakukan penerbangan rendah
diatas kem bagi melakukan tinjauan. Lewat petang, seramai kira-kira 150 orang
pengganas Kataeb bersenjatakan kapak dan parang memasuki kawasan kem. Pada malamnya
pula, tentera Israel telah melepaskan ‘flare’
ke udara untuk menerangi kawasan kem bagi memudahkan puak Kataeb dan Haddad
menjalankan Operasi Kasach iaitu
operasi ‘pembersihan’ kem Sabra dan Shatila dari ‘pejuang PLO’.
Sepanjang malam sehingga keesokan harinya 17 September kedengaran bunyi mesingan
yang dilepaskan secara rambang kepada penduduk kem. Mereka juga mengugut untuk meletupkan
rumah penduduk yang enggan menyerah diri. Apabila menyerah diri, penduduk
kemudiannya diseksa sebelum badan mereka dikelar. Mayat-mayat penduduk
kemudiannya dilonggokkan. Kanak-kanak
dan wanita yang berusia 12 sehingga 16 tahun dikumpulkan dan dibawa ke stadium
untuk ‘disoal siasat’. Mereka kemudiannya ‘hilang’. Terdapat beberapa wartawan
asing yang berjaya mencuri masuk ke kawasan kem.
Walaupun diarahkan IDF supaya keluar pada 5 pagi 18 September, pengganas Kataeb dan Haddad
hanya keluar pada 8 pagi. Wartawan asing dibenarkan memasuki kem satu jam
kemudian.
Tentera Israel tidak terlibat secara langsung terhadap
tindakan ganas puak Kataeb terhadap penduduk kem walaupun kedudukan pos kawalan
mereka dapat melihat dengan jelas terhadap apa yang berlaku. IDF memberikan
bantuan komunikasi, makanan, gambar udara dan peta kem kepada pengganas Kataeb.
Tentera Israel juga bertindak menghalang penduduk kem daripada keluar melepasi
kawasan kem. Penduduk yang melarikan diri diarahkan untuk kembali ke kem mereka.
Terdapat keraguan terhadap siapa pengganas yang melakukan
pembunuhan tersebut. Ada yang mendakwa kesemua pengganas tersebut merupakan
askar Israel kerana terdapat insiden dimana saksi melihat mereka bercakap dan
membaca surat khabar bertulisan Hebrew.
Selain itu terdapat juga pengganas yang berkulit gelap seperti orang Afrika serta orang asing yang tidak
berbahasa Arab ataupun Hebrew yang memungkin penglibatan tentera upahan. Ini memungkinkan
niat Israel untuk menimbulkan kecurigaan antara Puak Kristian Maronite dengan
orang Palestin. Ada juga saksi yang menyatakan dengan jelas penglibatan Puak
Kataeb yang dipimpin oleh Hobeika dan Puak Haddad iaitu tentera upahan IDF dan
Kataeb.
Walau siapapun yang melakukan pembunuhan kejam tersebut, secara langsung ataupun tidak, sudah tiada sifat
manusia didalam diri mereka lagi. Kebanyakan mangsa yang terbunuh adalah wanita
dan kanak-kanak. Ada yang mati akibat tembak curi. Namun kebanyakannya mati
dikelar dan terdapat tanda-tanda mereka diseksa dahulu sebelum dibunuh. Terdapat
kesan-kesan ikatan wayar pada mangsa. Manakala bagi wanita kebanyakannya
dirogol secara bergilir-gilir sebelum tubuh mereka dikelar. Ada juga yang
matanya dikorek dan ada juga mayat yang dicincang serta patah riuk.
Suasana di Sabra dan Shatila selepas
pembunuhan
Mayat-mayat dilonggokkan, dibiarkan
mereput sebelum ditimbun dan dikambus dalam kubur besar. Kelihatan mayat seorang
tua yang dikorek mata sebelum dibunuh
Semua
ahli keluarga berbaris diluar rumah sebelum dibunuh. Mayat mereka kemudian
dilonggokkan dengan jentolak.
Israel telah menubuhkan Suruhanjaya
Kahan untuk menyiasat dakwaan penglibatan IDF dalam peristiwa tersebut. Hasilnya,
mereka mendapati Israel tidak terlibat secara langsung terhadap pembunuhan
tersebut sebaliknya dilakukan oleh Hobeika dan orang-orangnya. Namun, mereka
mengakui IDF tidak mengambil tindakan sebaiknya untuk menghentikan perbuatan
jenayah tersebut. Ariel Sharon dan beberapa pegawai tentera turut diminta untuk
dipecat dari IDF dan dikutuk.
Ariel Sharon bersama George W Bush
Kerana Tragedi Sabra dan Shatila, Ariel Sharon mendapat
gelaran “The butcher of Beirut”. Walaupun berundur dari jawatan Menteri
Pertahanan Israel (Sharon tak mahu berundur pada awalnya dan Menachim Begin, PM
Israel ketika itu juga tidak mahu memecat Sharon, namun meletak jawatan selepas
satu percubaan bunuh), pada tahun 2001, Sharon akhirnya menjawat jawatan sebagai
PM Israel yang ke-11.
Sabra dan Shatila hanyalah satu
pengulangan siri keganasan tentera Israel seperti Tragedi Deir Yassin 1948
– Sami Hadawi, pakar sejarah
Manakala Suruhanjaya Antarabangsa pula Berjaya membuktikan
pembohongan dakwaan IDF mengenai kewujudan 2000 pejuang PLO di Sabra dan
Shatila. Tanpa pejuang PLO dan senjata, penduduk kem tidak mampu mempertahankan
diri mereka. Malah, saksi wartawan yang memasuki kem selepas peristiwa tersebut
turut menjumpai senapang mainan
yang diperbuat daripada plastisin ditemui di sisi mayat seorang budak lelaki,
menunjukkan betapa penduduk kem tidak mampu melindungi diri mereka sendiri.
KESIMPULAN
Sekiranya USA dibenarkan dunia untuk menuntut bela diatas
kematian rakyatnya, bukankah Sabra dan Shatila boleh melakukan perkara yang
sama? Tidak. Mereka hanya mahu tanah airnya kembali. Itu sahaja. Mereka hanya
mahu hidup aman, sambil menjaga ladang oren dan zaitun mereka , melihat
anak-anak mereka membesar dan bersolat di Masjidil Aqsa tanpa ada halangan.
Namun semuanya dirobek dan dirampas oleh Israel setelah mereka dibuang dan
dihalau pada 1948 dan 1967.
Situasi di palestin dan Lubnan tidak mustahil untuk berlaku
di Malaysia. Sekiranya para pemuda
Palestin menghadapi tentangan dan peperangan secara fizikal oleh musuh mereka
iaitu Zionis, para belia di Malaysia
pula sedang berhadapan dengan serangan secara pemikiran dan ideology iaitu Hedonis (sifat cintakan dunia dan
hiburan melampau). Di Palestin pemudanya terkorban dibaham peluru dan mortar
memburu syahid, di Malaysia pula belianya maut di jalanan, sama ada sebagai mat
gian ataupun mat rempit.
Kini, mayat mereka yang terkorban masih lagi disitu. Tertimbus
jauh didalam runtuhan Sabra dan Shatila tanpa ada batu-batu nesan untuk
memperingati mereka dan juga pengebumian yang sempurna. Kerajaan Lubnan juga
bercadang untuk meratakan apa yang masih ada untuk memberi laluan kepada pembangunan.
RUJUKAN
Dari Beirut ke
Jerusalem, Sebuah kisah benar oleh Dr Ang Swee Chai
Sabra Shatila terus merintih oleh Dr ZainurRashid penulis blog Peduli Ummah
Sabra Shatila terus merintih oleh Dr ZainurRashid penulis blog Peduli Ummah
Rakyat Palestin
bersuara oleh Alijah Gordon
Maszlee Malik,
kolumnis PalestinKini
Wikipedia
P/S: “Jauh
di sudut hati, saya berdoa bersama-sama mereka. Dari Beirut ke Jerusalem, tahun
hadapan kita jumpa di Palestin”- Dr Ang Swee Chai. Doktor sukarelawan dan saksi
Tragedi Sabra dan Shatila.
2 comments:
Sedihnya baca...baru tahu kisah ni..
Post a Comment