(Artikel ini merupakan
siri sambungan dan pelengkap dari artikel kami sebelumnya iaitu SABAH: Disebalik tuntutan Kesultanan Sulu . Kerumitan mengenai isu ini menyebabkan kita perlu menganalisis dan
memerhati dari pelbagai sudut yang berbeza dan mendalam. Kami di Kau Tahu Tak mengucapkan takziah
kepada keluarga pejuang tanah air yang terkorban dalam Peristiwa Pencerobohan
Pengganas Sulu di Sabah tempoh hari. Kepada pembaca sekalian marilah kita
hulurkan bantuan dan sedekahkan Al-fatihah...)
##########
Tinggi tinggi Gunung Kinabalu
Tinggi lagi sayang sama kamu
biru biru hujung kinabalu tengok dari
jauh
hati saya rindu...
Kinabalu dekat di kundasang
banyak sayur bulih pilih pilih
apa guna pergi luar negeri naik
kinabalu
hati saya rindu....
sumandak sumandak pun ramai menunggu
menari-nari lenggang sumayau
sekali melihat melepak kulitnya
saya jatuh cinta....
saya sayang sayang kinabalu
kaamatan pesta bulan lima
sayang sayang kita pergi tamu jalan
tamparuli
hati saya rindu....
sayang sayang kita pergi tamu jalan
tamparuli
hati saya rindu....
(Sayang Kinabalu - Kimin Mudin)
##########
SEJARAH SABAH
Sejarah Sabah agak panjang, namun kami mulakan pada awal abad
ke-6 dimana ketika itu Kesultanan Brunei menguasai keseluruhan kawasan utara
pulau Borneo, termasuklah Sarawak dan juga Sabah. Ketika itu kesultanan Brunei
mengecapi zaman kegemilangannya sebaris dengan kemajuan yang dicapai oleh
Kesultanan Melaka dan Acheh.
Namun ketika era penjajahan, Brunei tidak terlepas dari
menjadi sasaran kuasa barat yang ingin menjarah Kepulauan Nusantara ini.
British berjaya menguasai Tanah Melayu manakala Belanda Berjaya menguasai
kepulauan Jawa, Sumatera dan Maluku. Sepanyol pula berjaya menguasai Luzon,
Visaya dan Mindanao lalu menubuhkan Filiphina (sempena King Philip II, Raja
Sepanyol). Asakan penjajah makin menjadi-jadi apabila British menyerang Brunei
dan mengambil Labuan. Manakala Sepanyol pula berperang dengan Brunei dalam
Perang Kastila.
Kepentingan strategik Borneo menyebabkan pelbagai pihak ingin
mendapatkan hak pajakan ke atas kawasan tersebut, maka pelbagai perjanjian pajakan telah
ditandatangani antara Sultan Brunei dan Sulu menyaksikan Sabah kerapkali
bertukar tangan bermula dari CL Moses
dari Amerika Syarikat, WJ Torrey
juga dari Amerika Syarikat sebelum menjualnya kepada Baron Gustav vonOverbeck dari AustriaHungary.
Overbeck kemudiannya buat partnership dengan Alfred Dent, seorang British di Hong
Kong. Overbeck kemudiannya buat perjanjian pajakan yang baru dengan Sultan
Brunei dan Temenggong dengan bayaran pajakan sebanyak $15,000. Overbeck kemudiannya dilantik sebagai Maharaja Sabah, Raja Gaya dan Sandakan.
Oleh kerana kawasan itu juga dituntut Sultan Sulu, Overbeck membuat jalan
selamat dengan mengadakan perjanjian dengan Sultan Sulu juga. Sultan Sulu
melantik Overbeck menjadi Dato Bendahara
dan Raja Sandakan, manakala Overbeck bersetuju membayar $5000 kepada Sultan Sulu.
Alfred Dent |
Namun
Overbeck ada financial problem dan menjual semua sharenya kepada Alfred Dent.
Alfred Dent Berjaya mendapat Royal Charted (geran diraja) dari
Kerajaan Britain dan menubuhkan SBBU di Sabah. SBBU ni macam kompeni swasta
yang menjaga kepentingan British di Sabah, manakala hubungan antarabangsa SBBU
pula dibawah kuasa Kolonial British.
(promo: dan taktik ni masih digunakan sehingga sekarang oleh Amerika Syarikat,
tunggu posting kami seterusnya!)
Persaingan merebut tanah-tanah dan wilayah kekuasaan di
Borneo semakin sengit berlaku antara penjajah colonial seperti British,
Sepanyol dan Jerman. Maka mereka menyelesaikannya melalui Protokol Madrid. Dimudahkan cerita, protocol ini membahagikan circle of influence diantara penjajah
tersebut. British mengakui kedudukan Sepanyol di Filiphina (termasuk kepulauan
Sulu) dan Sepanyol melepaskan perebutannya dengan British terhadap Sabah.
Sepanyol dapat filiphina, Belanda dapat Kepulauan Indonesia, British dapat
Malaya Sabah dan Sarawak, Jerman dapat Papua dan Perancis dapat Indochina.
Wilayah Brunei semakin menyusut apabila Dinasti Brooke di Sarawak dan SBBU
di Sabah berlumba-lumba membeli dan mengambil wilayah Brunei. Dan akhirnya
Brooke Berjaya mara ke Limbang manakala SBBU mendapat Lawas. Di kemudian hari,
inilah yang membentuk sempadan antara Sarawak, Sabah dan Brunei. Selepas
penjajahan Jepun Dinasti Brooke dan SBBU menyerahkan kuasa kepada British
Military Administration dan kemudiannya kepada Kolonial British.
Presiden Indonesia Soekarno, Presiden Filiphina Macapagal dan En Azahari dari Brunei |
Kemudiannya apabila penubuhan Malaysia, penyertaan Sabah dan
Sarawak ditentang oleh Indonesia, Filiphina dan Parti Rakyat Brunei (PRB) di bawah pimpinan AM Azahari. Indonesia dibawah Soekarno
bercadang memasukkan Sarawak, Sabah dan Brunei dalam gagasan Indonesia Raya sebagai Provinsi Kalimantan Utara, Azhari yang
mendapat sokongan Soekarno pula berhasrat menggabungkan Sabah, Sarawak dan
Brunei dalam Persekutuan Kalimantan
Utara dimana Sultan Brunei menjadi ketua negaranya. Manakala Filiphina
dipimpin Macapagal menuntut Sabah
dan mendakwa Sabah hakmilik Filiphina melalui sejarah Kesultanan Sulu.
Filiphina mendakwa mereka merupakan penerus legasi Kesultanan Sulu dan berhak
ke atas Sabah.
Walaubagaimanapun Suruhanjaya
Cobbold mendapati sebahagan besar penduduk Sabah dan Sarawak ingin
menyertai Malaysia. Azahari melancarkan pemberontakan namun dapat dipatahkan
Brunei. Dia kemudiannya lari ke Jakarta. Indonesia melancarkan konfrantasi
bersenjata kepada Malaysia namun gagal. Soekarno akhirnya digulingkan dalam
GESTAPO dan digantikan dengan Suharto. Manakala Filiphina memutuskan hubungan
diplomatiknya dengan Malaysia. Macapagal kemudiannya digantikan Marcos.
Sabah sehingga kini berada dibawah Persekutuan Malaysia.
SULU: MASALAH
PERWARISAN TAKHTA
Pulau Chermin |
Tuntutan Sulu ke atas Sabah bermula ketika Peristiwa Pulau Chermin dimana berlaku
perang saudara antara 2 orang Sultan Brunei iaitu Sultan Hakkul Abdul Mubin dan Sultan
Muhyiddin, kemuncaknya di Pulau Chermin. Dipendekkan cerita untuk
mengelakkan perang berlaku dengan lebih lama, Sultan Muhyiddin meminta bantuan
Sultan Sulu dengan menjanjikan kemerdekaan dan pantai timur Sabah. Namun
menurut cerita , tentera Sulu hanya membantu di saat akhir dimana ketika itu
Sultan Muhyiddin sudah berada diambang kemenangan. Berang dengan tindakan orang
Sulu, Sultan Muhyiddin enggan menyerahkan wilayah timur Sabah. Beberapakali
delegasi Sulu cuba menuntut kawasan tersebut dengan menghadap Sultan Brunei
tetapi dihalau keluar dengan ugutan bunuh. Oleh yang demikian wilayah timur
Sabah sebenarnya dituntut dan didakwa oleh Sulu sebagai milik mereka. Tuntutan
sebelah pihak ini tidak pernah dipersetujui Sultan brunei.
Masalahnya, siapakah Sultan Sulu yang
sebenar? Perlu diingatkan sehingga kini terdapat lebih kurang 97 orang mendakwa
dirinya sebagai Sultan Sulu dan Sabah, ini termasuklah dari keluarga diraja
Sulu, sama ada saudara dekat atau bau-bau bacin, keluarga tiri, keluarga angkat
serta penyamar .
(Ya, semua individu
di atas mengaku mereka adalah Sultan Sulu dan Sabah yang sebenar)
Antara yang mendakwa diri mereka sebagai
Sultan Sulu dan Sultan Sabah ialah Sultan
Ibrahim Barjin Shakirullah, Sultan Esmael Kiram III, Sultan Rodinood Julaspi
Kiram, Sultan Aydal Aliuddin, Sultan Ibrahim Pulalon, Sultan Fuad Abdullah
Kiram I, Sultan Jamalul Kiram III, Sultan Muidzullail Kiram, Sultan Patico,
dan banyak lagi ‘Sultan Sulu’. Ada juga diantara mereka telah menyediakan laman
sesawang dan blog. Ada juga yang menganugerahkan darjah kebesaran diraja Sulu
dengan ‘menjual’nya kepada individu yang berminat. Diantara mereka ada yang mempunyai
pengikut yang ramai dan penyokong yang bersimpati. Malah ada yang melakukan
provokasi secara agresif seperti yang dilakukan oleh Abdul Razak Aliuddin dan
adik-beradik Kiram III.
(Datuk Abdul Razak
Aliuddin yang mendakwa dirinya ‘Sultan Sabah’ beserta 11 orang pengikutnya
membakar 6 bendera Sabah pada 4 April 2009 di Lahad Datu)
Di atas merupakan Bendera Kesultanan Sulu, Keris melambangkan Pewaris Pertama iaitu dari keturunan
Keluarga Kiram dan Shakiraullah dan Tombak
dari keturunan Keluarga Maharajah Adinda
sebagai Pewaris Kedua. Sistem dua pewaris ini dibuat untuk melindungi
kedaulatan diRaja Sulu. Seandainya belaku sesuatu terhadap Pewaris Pertama
(mangkat tanpa waris, murtad atau menggadai kedaulatan Sulu) maka Pewaris Kedua
berhak keatas takhta diraja Sulu sebagai “Pewaris dan Penyambung (The heirs and successors)”. Maka orang
yang layak perlulah menepati ciri sebagai pewaris/heirs (keturunan asal dan
sah) dan penyambung takhta sultan/successors (anak lelaki sulung Sultan dari
isteri pertama misalnya).
Terdapat tiga peristiwa penting yang menjadi punca kekalutan
dan kekeliruan mengenai siapa sebenarnya yang layak menjadi Sultan Sulu ketika
ini.
Pertama, pembaptisan Sultan
Azimuddin/ Alimuddin-I @ Don Fernando de Alimuddin pada tahun 1750. Alimuddin
yang mendapat sokongan kuat dari Sepanyol dan Missionaries Jesuits menyokong
usaha Jesuits menyebarkan agama Kristian ke Sulu. Alimuddin mendapat tentangan
saudara sebapanya Bantilan yang kemudian memeranginya dan menggantikannya
sebagai Sultan Sulu dengan gelaran Muizuddin. Melalui peristiwa inilah
diwujudkan Pewaris kedua yang bertujuan melindungi Kesultanan Sulu dari ancaman
luar mahupun sultannya sendiri.
Kedua, penyerahan timur Sabah semasa pihak keluarga Kiram
menandatangai Perjanjian Kiram-Bates
Treaty pada 1899 dan Perjanjian
Carpenter tahun 1915. Mengikut perundangan diraja Sulu, mana-mana sultan
yang menyerahkan kedaulatan kawasan Sulu kepada orang luar akan menyebabkan
gelaran sultannya terbatal. Oleh itu, keluarga Kiram tidak layak menuntut
gelaran Sultan.
Ketiga, kemangkatan
Sultan Jamalul-Kiram-II pada 1936. Sultan Jamalul Kiram II
mangkat tanpa meninggalkan waris yang sah. Baginda hanya mempunyai 3 orang anak
angkat perempuan dimana mereka ini kemudiannya mengangkat suami masing-masing
menjadi ‘Sultan Sulu’. Malah selepas kemangkatan baginda, kerajaan Filiphina
mengambil keputusan untuk tidak mengiktiraf lagi kewujudan kesultanan Sulu.
(salasilah ‘keluarga diRaja Sulu’.
Untuk perhatian Datu Punjungan Kiram hanyalah anak tiri Sultan Mawalil Wasit
kerana Sultan Mawalil berkahwin dengan Mora Napsa ketika Mora sedang
mengandungkan Datu Punjungan).
PENJAJAHAN KE ATAS
SULU: SEPANYOL-USA-FILIPHINA
(Abner Afuang, bekas pegawai polis
Filiphina membakar bendera Malaysia sebagai bantahan tindakan anggota
keselamatan Malaysia keatas Pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu)
Penjajahan Sepanyol merupakan malapetaka kepada orang Sulu
apabila mereka mengembangkan ajaran Kristian kepada peribumi Filiphina melalui
Missionaries Jesuits dan memperkenalkan konsep pengasingan Indios-Moro. Indios
merupakan penduduk Filiphina beragama Kristian dan dominon di kawasan utara
seperti Luzon dan Visaya manakala Moro pula merupakan penduduk Filiphina
beragama Islam yang majoritinya di bahagian selatan seperti Mindanao dan
kepulauan Sulu. Pengasingan ini adalah penting bagi Sepanyol untuk memastikan
cengkamannya ke atas filiphina kukuh kerana berlaku keganasan antara golongan Indios dan Moro. Penjajah Sepanyol memberi gelaran Moro ke atas Muslim Sulu
seperti mana gelaran orang Islam di Andalusia
iaitu Moor dimana akhirnya orang Islam Moor Berjaya dihalau keluar tentera Raja Ferdinand dan Queen Isabella, pengasas kerajaan Sepanyol semasa Perang Salib Reconquista.
Apabila USA akhirnya Berjaya meng’halau’ Sepanyol dari
Filiphina kebanyakan orang Moro meminta agar Mindanao dan Sulu tidak dimasukkan
dibawah pentadbiran Amerika di Filiphina. Permintaan ini tidak diendahkan.
Keganasan makin kerap terjadi terutama ke atas orang Moro apabila orang Indios
di utara dipindahkan ke selatan. Pergaduhan antara Indios dan Moro berpanjangan
sehingga selepas kemerdekaan Filiphina menyebabkan orang Moro menubuhkan pasukan
militarinya sendiri bagi menghadapi kerajaan Filiphina yang didominasi
goloingan Indios.
MALAYSIA MEMPERTAHANKAN
SABAH
Tuntutan Filiphina terhadap Sabah tidak pernah digugurkan, malah isu ini masih lagi menjadi duri dalam daging hubungan Kuala Lumpur-Manila. Filiphina menuntut wilayah Sabah atas kapasiti sejarah Kesultanan Sulu. Sehingga kini Malaysia masih lagi membayar wang RM5000.00 setahun kepada keluarga waris Sultan Sulu. Kerajaan Filiphina masih lagi berusaha membawa kes Sabah ke Mahkhamah Antarabangsa ICJ namun ditolak oleh Malaysia. Filiphina ketika itu dibawah Macapagal memutuskan hubungan Manila-Kuala Lumpur.
Macapagal kemudian digantikan dengan Marcos. Disebabkan ICJ dan Malaysia berulangkali menolak permohonan tuntutan Filiphina maka Marcos memulakan sebuah operasi sulit yang bertujuan untuk menimbulkan kekacauan di Sabah. Melalui kekacauan ini Marcos berharap agar tentera filiphina dapat masuk campur dalam urusan pentadbiran Sabah. Namun begitu sebuah unit khas ditubuhkan supaya kelihatan Filiphina tidak mempunyai kaitan dengan pasukan penceroboh tersebut.
Presiden Ferdinand Marcos |
Operasi tersebut diberi nama Operasi Merdeka. Unitnya diberi nama Jabidah, sempena nama perempuan Melayu. Anggota unitnya terdiri daripada 200 orang pemuda Moro berusia antara 18 sehingga 30 tahun. Mereka diberi latihan di Simunul dan kemudiannya di Pulau Corregidor. Misinya ialah, menimbulkan kekacauan di Sabah dengan cara menghasut orang Filiphina di Sabah supaya berpisah dari Malaysia dan menyertai Filiphina serta membantu Unit Jabidah apabila pencerobohan berlaku.
Walaubagaimanapun, anggota unit Jabidah berpaling tadah. Terdapat beberapa faktor yang memungkinkan mereka bertindak sedimikian. Antaranya, mereka tidak dibayar gaji yang dijanjikan. Selain dari itu kemudahan fasiliti tempat latihan mereka begitu daif dengan latihan yang sangat teruk. Malah disaat akhir baru mereka diberi tahu bahawa mereka akan menceroboh Sabah, tempat dimana ada saudara seagama dan sebangsa mereka tinggal. Akhirnya mereka menuntut untuk pulang. Bagi perancang operasi ini, hanya ada satu sahaja cara penyelesainnya.
Tengah malamnya, rekrut dikumpulkan dan dibawa ke landasan kapal terbang berhampiran dimana mereka kemudiannya ditembak beramai-ramai. Keesokan paginya tentera filiphina mengumpulkan cebisan mayat dan dimasukkan kedalam ponco hitam. Mayat mereka dibuang kedalam laut. Dikatakan seramai 28 sehingga 64 rekrut telah dibunuh. Peristiwa ini dikenali sebagai Peristiwa Pembunuhan Beramai-ramai Jabidah 1968. Berang dengan peristiwa tersebut orang Moro di selatan Filiphina menubuhkan MNLF.
Filiphina menafikan penubuhan unit Jabidah untuk menceroboh Sabah. Walaupunbegitu, rancangan Filiphina mendatangkan kemarahan Malaysia. Malaysia ketika itu dibawah Tunku Abdul Rahman dan Sabah dibawah Tun Mustapha Harun sebagai balas akan memberi bantuan kepada perjuangan MNLF. Marcos akhirnya menarikbalik tuntutan Filiphina ke atas Sabah, walaupun komitmen ini dibuat secara verbal, bukannya bertulis. Dengan syarat Malaysia menghentikan bantuan ke atas MNLF.
Untuk memastikan Sabah terus berada dibawah Malaysia, maka
beberapa dokumen sokongan perjanjian antara SBBU dan Kesultanan Sulu perlu
diperolehi dan dipelihara. Dokumen penting ini tersimpan di Istana Malacanang. Tempat kediaman
rasmi presiden Filiphina. Maka pada tahun1980an, sebuah operasi telah dirancang
untuk mengambil dokumen tersebut. Operasi tersebut diberi nama Operasi Sabah Selamanya melibatkan 7
orang Komando Malaysia beserta beberapa kontek dari Filiphina. Walaupun operasi
itu berjaya dihidu agensi perisikan Filiphina dan berlaku pentempuran, dokumen
tersebut berjaya dibawa ke Kuala Lumpur.
Pengganti Marcos seterusnya menjadikan isu ini menjadi
dormant apabila hubungan Kuala Lumpur-Manila dipulihkan semula. Namun begitu
isu Sabah masih lagi dimainkan oleh sesetengah ahli politik, manakala gerakan
pemisah Moro MNLF terus bergiat aktif dalam usahanya meraih perhatian
antarabangsa.
Malaysia berusaha membantu mewujudkan perdamaian antara
pejuang Moro dengan kerajaan Filiphina. Pertempuran bersenjata antara pejuang
Moro (MILF, MNLF, Abu Sayyaf dan Keluarga diRaja Sulu) dengan Filiphina
sedikit sebanyak menjejaskan keselamatan Sabah. Pada penghujung tahun 2012
Malaysia sebagai orang tengah Berjaya mendamaikan pertelagahan antara Filiphina
dan pejuang Moro (ketika itu diwakili MILF). Kerajaan Filiphina bersetuju
menubuhkan Wilayah Autonomi Bangsamoro
untuk orang Moro di Sulu dan Mindanao. Namun begitu rundingan MILF-Manila-KL
ini tidak disenangi oleh MNLF (diketuai Nur Misuari) dan ‘Keluarga Kiram’
kerana merasa terpinggir dari perjanjian tersebut. Kewujudan wilayah autonomi
yang diusahakan MILF akan memadamkan pengaruh MNLF dan menyebabkan system
“Sultan Sulu’ tidak lagi bermakna. Apabila hilangnya institusi Kesultanan Sulu
maka berkemungkinan Malaysia tidak lagi membayar wang tahunan kepada ‘Keluarga
diRaja Sulu’ lagi. Maka berlakulah apa yang dikatakan sebagai insiden Pencerobohan Pengganas Sulu di
Lahad Datu, Sabah.
Bagi mempertahankan kedaulatan negara dan keselamatan
penduduk Sabah, pihak berkuasa Malaysia melancarkan Operasi Daulat. Para pengganas berjumlah 200 orang yang menggelarkan
diri mereka ‘tentera diRaja Sulu’ telah diberi masa untuk berundur dari Sabah dan
menyerah diri namun pengganas telah melakukan tipu daya dan serangan ke atas
pasukan keselamatan menyebabkan beberapa anggota polis dan tentera terkorban.
Banyak rumah penduduk kampung dan kemudahan awam turut rosak dan musnah.
Kombinasi antara pasukan keselamatan negara akhirnya Berjaya
membendung tindakan pengganas. Sebahagian besar dari mereka Berjaya ditangkap
dan ada yang terbunuh dalam pertempuran. Pengganas yang ditangkap akan didakwa
di mahkhmah Malaysia dan sabit kesalahan boleh dihukum mati atas kesalahan
melancarkan peperangan terhadap Yang DiPertuan Agong Malaysia. Dolak-dalih
Manila dan cubaan Kiramuntuk merayu kepada Sultan Brunei gagal membantu
pengganas untuk meneruskan serangan mereka ke atas Sabah. Bagi mempertingkatkan
lagi tahap keselamatan dikawasan yang terjejas kerajaan Malaysia telah
menubuhkan ESSCOM, dalam usaha
mempergiatkan pengawasan di Pantai Timur Sabah. Usaha ini melibatkan kerjasama
polis , tentera dan orang awam.
24 hari sebelum peristiwa pencerobohan pengganas di lahad
Datu, sebuah kapal perang USA terdampar di Terumbu
Karang Tubbuhata, Laut Sulu Filiphina. Kehadiran USS Guardian di kawasan panas beberapa hari sebelum peristiwa itu
berlaku mengundang pelbagai spekulasi yang tak boleh dibiarkan begitu sahaja.
Pertamanya, USS Guardian adalah sebuah kapal perang, (milik
USA pulak tuh!) dan bukannya sebuah bot pukat tunda nelayan, sudah tentulah
kapal tersebut memiliki kelengkapan radar yang canggih. Keduanya, Tubbuhata
merupakan kawasan perlindungan marin dan sudah tentu pihak berkuasa taman marin
Filiphina bagi amaran kepada USS Guardian supaya jangan lalu kawasan itu. Tapi
USS Guardian buat dek je, amaran tersebut tak diendahkan langsung!. Ketiganya,
USS Guardian juga dengan sengaja mengubah dan menukar laluan asalnya! Kapal
tersebut dalam perjalanan dari Subic Bay ke Indonesia. Sudah tentu di peta dan
radar telah memaparkan kedalaman laut yang selamat untuk pelayaran sesebuah
kapal !!!
Akhirnya 2.25 pagi waktu tempatan, USS guardian terkandas di
terumbu tersebut, tindakan ombak menyebabkan kapal tersebut semakin hanyut
kearah terumbu menyebabkan kerosakan kawasan perlindungan marin tersebut.
Apabil pihak berkuasa marin filiphina cuba menghampiri kapal yang terkandas
itu, mereka diberi amaran dan USS Guardian tidak teragak-agak untuk melepaskan
tembakan. Akhirnya kapal USS Guardian dimusnahkan dan segala peralatan dan krew
kapal dipindahkan terus ke Jepun dan
bukannya ke filiphina ataupun Guam
dimana lokasinya lebih dekat. Dikatakan proses pemindahan dan ‘operasi
menyalamat’ ini dilakukan dengan secepat dan ‘serahsia’ yang mungkin.
USA, the master of
deception and engineering destabilization melihat krisis tiga segi antara
Malaysia, Sulu dan Filiphina sebagai satu peluang. Seandainya kita memahami
modus operandi USA dan secret agentnya
di kawasan berkonflik seperti Amerika Latin, Afrika dan Timur Tengah. Tentang
bagaimana mereka memusnahkan ketua sesebuah negara dan menggantikannya dengan
bonekanya, kita boleh agak apa yang USA mahukan.
USS Guardian “Forerunner of freedom”
|
Pertama, Laut Sulu dikatakan mempunyai simpanan minyak yang luas dan masih belum diterokai. USA, sebuah negara
kapitalis sudah tentu mahu memastikan penguasaannya ke atas rizab minyak
tersebut dengan mengarahkan syarikat minyak dan tenaga yang berpangkalan di USA
merebut tender carigali minyak dikawasan tersebut. (Sila baca Confessions of An Economic Hitman oleh
John Perkin mengenai bagaimana USA menguasai hasil minyak Amerika Latin dan
negara-negara Arab). Kedua, USA mahu membina sebuah pangkalan tenteranya di situ. Seperti yang kita tahu USA dan
filiphina mempunyai hubungan ketenteraan yang rapat. Tetapi itu belum cukup
untuk menyekat kemaraan China yang rakus untuk menguasai kawasan Laut China
Selatan (rujuk kes perebutan Kepulauan
Spratly). Ketiga, melalui konflik ini juga USA berpotensi untuk menaikkan puppet
clientnya dan menggantikan pemimpin yang sedia ada yang diharapkan
kelihatan lemah dan gagal dalam menangani isu ini. Secara ‘kebetulan’ Malaysia
dan Filiphina pada tahun 2013 menghadapi Pilihanraya Umum masing-masing.
(Walaupun begitu,
kaitan antara USS Guardian dan situasi di Sabah masih lagi kabur dan samar
serta terbuka untuk sebarang perbincangan.)
KESIMPULAN
Sama ada Filiphina ataupun Sulu, mereka tidak mempunyai hak
untuk memisahkan Sabah dari Malaysia. Pada 1878, Sultan Sulu telah memajakkan
pantai timur Sabah kepada SBBU. Manakala Suruhanjaya Cobbold yang ditubuhkan
atas desakan Filiphina sendiri melaporkan rakyat Sabah mahu menyertai Malaysia
iaitu pada 1963. Tuntutan Filiphina ke atas Sabah telah ditolak oleh PBB ketika
itu.
Manakala bagi Sulu pula, sebelum mereka berfikir untuk
menuntut Sabah dari Malaysia, lebih baik mereka menuntut dahulu ‘kemerdekaan’
Kepulauan Sulu dari Filiphina. Lebih membingungkan ada antara ‘kerabat diraja
Sulu’ menyertai pilihanraya tempatan dan gabenor serta mempunyai hubungan baik
dengan Manila. Kesultanan Sulu juga sudah tidak wujud lagi dengan bubarnya
kedaulatan wilayah Sulu. Manakala Keluarga Kiram ketika ini pula bukanlah pihak
yang berhak mendakwa diri mereka Sultan Sulu yang sah. Mereka juga tidak
mendapat pengiktirafan dari Manila.
Disini juga kita melihat betapa pentingnya ilmu sejarah dalam
permainan politik antarabangsa. Tuntutan Sulu ke atas Sabah bukanlah
berlandaskan faktor pembangunan ekonomi atau social yang dilakukannya dahulu
(jika adalah..) tetapi kerana faktor sejarah dan perjanjian. Dan
dokumen-dokumen sejarah inilah yang dijadikan sebagai senjata dan hujah
tuntutan di Mahkamah Antarabangsa. Oleh yang demikian peranan pihak Arkib dalam
memelihara, memulihara dan melindungi dokumen dan monument sejarah amatlah
penting. (Ruju kes Pulau Batu Putih:
Malaysia vs Singapura dan kes Preah
Vihear: Kemboja vs Thailand). Suka diingatkan juga kepada pihak yang
mendakwa diri mereka sebagai ‘keluarga diraja Sulu’ yang masih mahu memainkan
sentiment dan memutarbelit sejarah, bahawa Kesultanan
Sulu diasaskan oleh seorang Ulama berketurunan Melayu-Arab iaitu Shariful Hashem Syed Abu Bakar pada
awal 1457 manakala Kesultanan
Maguindanao pula diasaskan oleh Ulama Melayu iaitu Shariff Mohammed Kabungsuwan diawal 1200an. Yang menariknya
kedua-dua ulama ini datang dari negeri Johor
Darul Takzim, sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia.
Buat pejuang negara terutamanya dikalangan PDRM, ATM dan APMM pengorbanan anda sungguh besar kepada kedaulatan dan
keselamatan tanah air (Tabikkk!!!). Segala pengalaman pahit getir dan susah
payah yang dialami oleh mereka tidak ramai yang tahu. Semoga pengkhianat negara
dan pengganas yang tidak berperikemanusiaan ini mendapat balasan di atas apa
yang mereka telah lakukan. Kepada penduduk Sabah khususnya dan Malaysia amnya,
marilah kita berdoa untuk keselamatan dan perlindungan kedaulatan negara yang
kita cintai, Malaysia dari tangan-tangan ghaib dan anasir-anasir jahat yang
senantiasa mahu menggugat keamanan dan memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian
kita di Malaysia.
Tinggi tinggi Gunung Kinabalu
Tinggi lagi sayang sama kamu
biru biru hujung kinabalu tengok dari
jauh
hati saya rindu...
RUJUKAN
Military of Malaysia,
Operasi Sabah Selamanya dan Operasi Daulat http://militaryofmalaysia.net/
How Brunei lost its northern province
by Rozan Yunoshttp:// www.
bt.com.bn /life/ 2008/09/21/ howbruneilostitsnorthernprovince
Sabah and the Sulu claims by Rozan Yunos http://www.bt.com.bn/golden-legacy/2013/03/07/sabah-and-sulu-claims
Artkel-artikel dari
blog Ibnu Rusyd
Catatan dari Srikandi
WK Che Man; Masalah
penduduk minority dalam pembinaan negara : Kes Moro di Filiphina dan Melayu di
Negeri Thai.
The Mirror Island and
The Civil War http://bruneiresources.blogspot.com/2008/08/mirror-island-and-civil-war.html
Oplan Merdeka and The
Jabidah Massacre by Marites
Danguilan Vitug and Glenda
M. Gloria http://mnlfnet.com/Articles/Merdeka-Jabidah.htm
Malaysia Invaded:
Hundreds of Terrorists Land on Beaches, Western Media Mute http://www.globalresearch.ca/malaysia-invaded-100s-of-terrorists-land-on-beaches-western-media-mute/5325621
Historical
Controversies Series: Operation Merdeka http://jpthehistorian.wordpress.com/2009/07/22/historical-controversies-series-operation-merdeka/
North Borneo (Sabah): An annotated timeline 1640s-present http://www.quezon.ph/2013/03/01/north-borneo-sabah-an-annotated-timeline-1640s-present/
0 comments:
Post a Comment