Friday, 10 May 2013

Di bawah Bayu Daulat

  

(Artikel ini merupakan siri sambungan dan pelengkap dari artikel kami sebelumnya iaitu SABAH: Disebalik tuntutan Kesultanan Sulu . Kerumitan mengenai isu ini menyebabkan kita perlu menganalisis dan memerhati dari pelbagai sudut yang berbeza dan mendalam.  Kami di Kau Tahu Tak mengucapkan takziah kepada keluarga pejuang tanah air yang terkorban dalam Peristiwa Pencerobohan Pengganas Sulu di Sabah tempoh hari. Kepada pembaca sekalian marilah kita hulurkan bantuan dan sedekahkan Al-fatihah...)

##########
Tinggi tinggi Gunung Kinabalu
Tinggi lagi sayang sama kamu
biru biru hujung kinabalu tengok dari jauh
hati saya rindu...

Kinabalu dekat di kundasang
banyak sayur bulih pilih pilih
apa guna pergi luar negeri naik kinabalu
hati saya rindu....

sumandak sumandak pun ramai menunggu
menari-nari lenggang sumayau
sekali melihat melepak kulitnya
saya jatuh cinta....

saya sayang sayang kinabalu
kaamatan pesta bulan lima
sayang sayang kita pergi tamu jalan tamparuli
hati saya rindu....

sayang sayang kita pergi tamu jalan tamparuli
hati saya rindu....
(Sayang Kinabalu - Kimin Mudin)

##########

SEJARAH SABAH

Sejarah Sabah agak panjang, namun kami mulakan pada awal abad ke-6 dimana ketika itu Kesultanan Brunei menguasai keseluruhan kawasan utara pulau Borneo, termasuklah Sarawak dan juga Sabah. Ketika itu kesultanan Brunei mengecapi zaman kegemilangannya sebaris dengan kemajuan yang dicapai oleh Kesultanan Melaka dan Acheh.

Namun ketika era penjajahan, Brunei tidak terlepas dari menjadi sasaran kuasa barat yang ingin menjarah Kepulauan Nusantara ini. British berjaya menguasai Tanah Melayu manakala Belanda Berjaya menguasai kepulauan Jawa, Sumatera dan Maluku. Sepanyol pula berjaya menguasai Luzon, Visaya dan Mindanao lalu menubuhkan Filiphina (sempena King Philip II, Raja Sepanyol). Asakan penjajah makin menjadi-jadi apabila British menyerang Brunei dan mengambil Labuan. Manakala Sepanyol pula berperang dengan Brunei dalam Perang Kastila.

Kepentingan strategik Borneo menyebabkan pelbagai pihak ingin mendapatkan hak pajakan ke atas kawasan tersebut,  maka pelbagai perjanjian pajakan telah ditandatangani antara Sultan Brunei dan Sulu menyaksikan Sabah kerapkali bertukar tangan bermula dari CL Moses dari Amerika Syarikat, WJ Torrey juga dari Amerika Syarikat sebelum menjualnya kepada Baron Gustav vonOverbeck dari AustriaHungary.

Overbeck kemudiannya buat partnership dengan Alfred Dent, seorang British di Hong Kong. Overbeck kemudiannya buat perjanjian pajakan yang baru dengan Sultan Brunei dan Temenggong dengan bayaran pajakan sebanyak $15,000. Overbeck kemudiannya dilantik sebagai Maharaja Sabah, Raja Gaya dan Sandakan. Oleh kerana kawasan itu juga dituntut Sultan Sulu, Overbeck membuat jalan selamat dengan mengadakan perjanjian dengan Sultan Sulu juga. Sultan Sulu melantik Overbeck menjadi Dato Bendahara dan Raja Sandakan, manakala Overbeck bersetuju membayar $5000 kepada Sultan Sulu.

Alfred Dent
Namun Overbeck ada financial problem dan menjual semua sharenya kepada Alfred Dent. Alfred Dent Berjaya mendapat Royal Charted (geran diraja) dari Kerajaan Britain dan menubuhkan SBBU di Sabah. SBBU ni macam kompeni swasta yang menjaga kepentingan British di Sabah, manakala hubungan antarabangsa SBBU pula dibawah kuasa Kolonial British. (promo: dan taktik ni masih digunakan sehingga sekarang oleh Amerika Syarikat, tunggu posting kami seterusnya!)

Persaingan merebut tanah-tanah dan wilayah kekuasaan di Borneo semakin sengit berlaku antara penjajah colonial seperti British, Sepanyol dan Jerman. Maka mereka menyelesaikannya melalui Protokol Madrid. Dimudahkan cerita, protocol ini membahagikan circle of influence diantara penjajah tersebut. British mengakui kedudukan Sepanyol di Filiphina (termasuk kepulauan Sulu) dan Sepanyol melepaskan perebutannya dengan British terhadap Sabah. Sepanyol dapat filiphina, Belanda dapat Kepulauan Indonesia, British dapat Malaya Sabah dan Sarawak, Jerman dapat Papua dan Perancis dapat Indochina.


Wilayah Brunei semakin menyusut apabila Dinasti Brooke di Sarawak dan SBBU di Sabah berlumba-lumba membeli dan mengambil wilayah Brunei. Dan akhirnya Brooke Berjaya mara ke Limbang manakala SBBU mendapat Lawas. Di kemudian hari, inilah yang membentuk sempadan antara Sarawak, Sabah dan Brunei. Selepas penjajahan Jepun Dinasti Brooke dan SBBU menyerahkan kuasa kepada British Military Administration dan kemudiannya kepada Kolonial British.

Presiden Indonesia Soekarno, Presiden Filiphina Macapagal dan En Azahari dari Brunei
Kemudiannya apabila penubuhan Malaysia, penyertaan Sabah dan Sarawak ditentang oleh Indonesia, Filiphina dan Parti Rakyat Brunei (PRB) di bawah pimpinan AM Azahari. Indonesia  dibawah Soekarno bercadang memasukkan Sarawak, Sabah dan Brunei dalam gagasan Indonesia Raya sebagai Provinsi Kalimantan Utara, Azhari yang mendapat sokongan Soekarno pula berhasrat menggabungkan Sabah, Sarawak dan Brunei dalam Persekutuan Kalimantan Utara dimana Sultan Brunei menjadi ketua negaranya. Manakala Filiphina dipimpin Macapagal menuntut Sabah dan mendakwa Sabah hakmilik Filiphina melalui sejarah Kesultanan Sulu. Filiphina mendakwa mereka merupakan penerus legasi Kesultanan Sulu dan berhak ke atas Sabah.

Walaubagaimanapun Suruhanjaya Cobbold mendapati sebahagan besar penduduk Sabah dan Sarawak ingin menyertai Malaysia. Azahari melancarkan pemberontakan namun dapat dipatahkan Brunei. Dia kemudiannya lari ke Jakarta. Indonesia melancarkan konfrantasi bersenjata kepada Malaysia namun gagal. Soekarno akhirnya digulingkan dalam GESTAPO dan digantikan dengan Suharto. Manakala Filiphina memutuskan hubungan diplomatiknya dengan Malaysia. Macapagal kemudiannya digantikan Marcos.

Sabah sehingga kini berada dibawah Persekutuan Malaysia.

SULU: MASALAH PERWARISAN TAKHTA
Pulau Chermin
Tuntutan Sulu ke atas Sabah bermula ketika Peristiwa Pulau Chermin dimana berlaku perang saudara antara 2 orang Sultan Brunei iaitu Sultan Hakkul Abdul Mubin dan Sultan Muhyiddin, kemuncaknya di Pulau Chermin. Dipendekkan cerita untuk mengelakkan perang berlaku dengan lebih lama, Sultan Muhyiddin meminta bantuan Sultan Sulu dengan menjanjikan kemerdekaan dan pantai timur Sabah. Namun menurut cerita , tentera Sulu hanya membantu di saat akhir dimana ketika itu Sultan Muhyiddin sudah berada diambang kemenangan. Berang dengan tindakan orang Sulu, Sultan Muhyiddin enggan menyerahkan wilayah timur Sabah. Beberapakali delegasi Sulu cuba menuntut kawasan tersebut dengan menghadap Sultan Brunei tetapi dihalau keluar dengan ugutan bunuh. Oleh yang demikian wilayah timur Sabah sebenarnya dituntut dan didakwa oleh Sulu sebagai milik mereka. Tuntutan sebelah pihak ini tidak pernah dipersetujui Sultan brunei.

Masalahnya, siapakah Sultan Sulu yang sebenar? Perlu diingatkan sehingga kini terdapat lebih kurang 97 orang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu dan Sabah, ini termasuklah dari keluarga diraja Sulu, sama ada saudara dekat atau bau-bau bacin, keluarga tiri, keluarga angkat serta penyamar . 

(Ya, semua individu di atas mengaku mereka adalah Sultan Sulu dan Sabah yang sebenar)

Antara yang mendakwa diri mereka sebagai Sultan Sulu dan Sultan Sabah ialah Sultan Ibrahim Barjin Shakirullah, Sultan Esmael Kiram III, Sultan Rodinood Julaspi Kiram, Sultan Aydal Aliuddin, Sultan Ibrahim Pulalon, Sultan Fuad Abdullah Kiram I, Sultan Jamalul Kiram III, Sultan Muidzullail Kiram, Sultan Patico, dan banyak lagi ‘Sultan Sulu’. Ada juga diantara mereka telah menyediakan laman sesawang dan blog. Ada juga yang menganugerahkan darjah kebesaran diraja Sulu dengan ‘menjual’nya kepada individu yang berminat. Diantara mereka ada yang mempunyai pengikut yang ramai dan penyokong yang bersimpati. Malah ada yang melakukan provokasi secara agresif seperti yang dilakukan oleh Abdul Razak Aliuddin dan adik-beradik Kiram III.



(Datuk Abdul Razak Aliuddin yang mendakwa dirinya ‘Sultan Sabah’ beserta 11 orang pengikutnya membakar 6 bendera Sabah pada 4 April 2009 di Lahad Datu)


Di atas merupakan Bendera Kesultanan Sulu, Keris melambangkan Pewaris Pertama iaitu dari keturunan Keluarga Kiram dan Shakiraullah dan Tombak dari keturunan Keluarga Maharajah Adinda sebagai Pewaris Kedua. Sistem dua pewaris ini dibuat untuk melindungi kedaulatan diRaja Sulu. Seandainya belaku sesuatu terhadap Pewaris Pertama (mangkat tanpa waris, murtad atau menggadai kedaulatan Sulu) maka Pewaris Kedua berhak keatas takhta diraja Sulu sebagai “Pewaris dan Penyambung (The heirs and successors)”. Maka orang yang layak perlulah menepati ciri sebagai pewaris/heirs (keturunan asal dan sah) dan penyambung takhta sultan/successors (anak lelaki sulung Sultan dari isteri pertama misalnya).

Terdapat tiga peristiwa penting yang menjadi punca kekalutan dan kekeliruan mengenai siapa sebenarnya yang layak menjadi Sultan Sulu ketika ini.

Pertama, pembaptisan Sultan Azimuddin/ Alimuddin-I @ Don Fernando de Alimuddin pada tahun 1750. Alimuddin yang mendapat sokongan kuat dari Sepanyol dan Missionaries Jesuits menyokong usaha Jesuits menyebarkan agama Kristian ke Sulu. Alimuddin mendapat tentangan saudara sebapanya Bantilan yang kemudian memeranginya dan menggantikannya sebagai Sultan Sulu dengan gelaran Muizuddin. Melalui peristiwa inilah diwujudkan Pewaris kedua yang bertujuan melindungi Kesultanan Sulu dari ancaman luar mahupun sultannya sendiri.

Kedua, penyerahan timur Sabah semasa pihak keluarga Kiram menandatangai Perjanjian Kiram-Bates Treaty pada 1899 dan Perjanjian Carpenter tahun 1915. Mengikut perundangan diraja Sulu, mana-mana sultan yang menyerahkan kedaulatan kawasan Sulu kepada orang luar akan menyebabkan gelaran sultannya terbatal. Oleh itu, keluarga Kiram tidak layak menuntut gelaran Sultan.

Ketiga, kemangkatan Sultan Jamalul-Kiram-II pada 1936. Sultan Jamalul Kiram II mangkat tanpa meninggalkan waris yang sah. Baginda hanya mempunyai 3 orang anak angkat perempuan dimana mereka ini kemudiannya mengangkat suami masing-masing menjadi ‘Sultan Sulu’. Malah selepas kemangkatan baginda, kerajaan Filiphina mengambil keputusan untuk tidak mengiktiraf lagi kewujudan kesultanan Sulu.

(salasilah ‘keluarga diRaja Sulu’. Untuk perhatian Datu Punjungan Kiram hanyalah anak tiri Sultan Mawalil Wasit kerana Sultan Mawalil berkahwin dengan Mora Napsa ketika Mora sedang mengandungkan Datu Punjungan).

PENJAJAHAN KE ATAS SULU: SEPANYOL-USA-FILIPHINA

(Abner Afuang, bekas pegawai polis Filiphina membakar bendera Malaysia sebagai bantahan tindakan anggota keselamatan Malaysia keatas Pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu)

Penjajahan Sepanyol merupakan malapetaka kepada orang Sulu apabila mereka mengembangkan ajaran Kristian kepada peribumi Filiphina melalui Missionaries Jesuits dan memperkenalkan konsep pengasingan Indios-Moro. Indios merupakan penduduk Filiphina beragama Kristian dan dominon di kawasan utara seperti Luzon dan Visaya manakala Moro pula merupakan penduduk Filiphina beragama Islam yang majoritinya di bahagian selatan seperti Mindanao dan kepulauan Sulu. Pengasingan ini adalah penting bagi Sepanyol untuk memastikan cengkamannya ke atas filiphina kukuh kerana berlaku keganasan antara golongan Indios dan Moro. Penjajah Sepanyol memberi gelaran Moro ke atas Muslim Sulu seperti mana gelaran orang Islam di Andalusia iaitu Moor dimana akhirnya orang Islam Moor Berjaya dihalau keluar tentera Raja Ferdinand dan Queen Isabella, pengasas kerajaan Sepanyol semasa Perang Salib Reconquista.



Apabila USA akhirnya Berjaya meng’halau’ Sepanyol dari Filiphina kebanyakan orang Moro meminta agar Mindanao dan Sulu tidak dimasukkan dibawah pentadbiran Amerika di Filiphina. Permintaan ini tidak diendahkan. Keganasan makin kerap terjadi terutama ke atas orang Moro apabila orang Indios di utara dipindahkan ke selatan. Pergaduhan antara Indios dan Moro berpanjangan sehingga selepas kemerdekaan Filiphina menyebabkan orang Moro menubuhkan pasukan militarinya sendiri bagi menghadapi kerajaan Filiphina yang didominasi goloingan Indios.



MALAYSIA MEMPERTAHANKAN SABAH

Tuntutan Filiphina terhadap Sabah tidak pernah digugurkan, malah isu ini masih lagi menjadi duri dalam daging hubungan Kuala Lumpur-Manila. Filiphina menuntut wilayah Sabah atas kapasiti sejarah Kesultanan Sulu. Sehingga kini Malaysia masih lagi membayar wang RM5000.00 setahun kepada keluarga waris Sultan Sulu. Kerajaan Filiphina masih lagi berusaha membawa kes Sabah ke Mahkhamah Antarabangsa ICJ namun ditolak oleh Malaysia. Filiphina ketika itu dibawah Macapagal memutuskan hubungan Manila-Kuala Lumpur.

Macapagal kemudian digantikan dengan Marcos. Disebabkan ICJ dan Malaysia berulangkali menolak permohonan tuntutan Filiphina maka Marcos memulakan sebuah operasi sulit yang bertujuan untuk menimbulkan kekacauan di Sabah. Melalui kekacauan ini Marcos berharap agar tentera filiphina dapat masuk campur dalam urusan pentadbiran Sabah. Namun begitu sebuah unit khas ditubuhkan supaya kelihatan Filiphina tidak mempunyai kaitan dengan pasukan penceroboh tersebut.


Presiden Ferdinand Marcos
Operasi tersebut diberi nama Operasi Merdeka. Unitnya diberi nama Jabidah, sempena nama perempuan Melayu. Anggota unitnya terdiri daripada 200 orang pemuda Moro berusia antara 18 sehingga 30 tahun. Mereka diberi latihan di Simunul dan kemudiannya di Pulau Corregidor. Misinya ialah, menimbulkan kekacauan di Sabah dengan cara menghasut orang Filiphina di Sabah supaya berpisah dari Malaysia dan menyertai Filiphina serta membantu Unit Jabidah apabila pencerobohan berlaku.

Walaubagaimanapun, anggota unit Jabidah berpaling tadah. Terdapat beberapa faktor yang memungkinkan mereka bertindak sedimikian. Antaranya, mereka tidak dibayar gaji yang dijanjikan. Selain dari itu kemudahan fasiliti tempat latihan mereka begitu daif dengan latihan yang sangat teruk. Malah disaat akhir baru mereka diberi tahu bahawa mereka akan menceroboh Sabah, tempat dimana ada saudara seagama dan sebangsa mereka tinggal. Akhirnya mereka menuntut untuk pulang. Bagi perancang operasi ini, hanya ada satu sahaja cara penyelesainnya.

Tengah malamnya, rekrut dikumpulkan dan dibawa ke landasan kapal terbang berhampiran dimana mereka kemudiannya ditembak beramai-ramai. Keesokan paginya tentera filiphina mengumpulkan cebisan mayat dan dimasukkan kedalam ponco hitam. Mayat mereka dibuang kedalam laut. Dikatakan seramai 28 sehingga 64 rekrut telah dibunuh. Peristiwa ini dikenali sebagai Peristiwa Pembunuhan Beramai-ramai Jabidah 1968. Berang dengan peristiwa tersebut orang Moro di selatan Filiphina menubuhkan MNLF.

Filiphina menafikan penubuhan unit Jabidah untuk menceroboh Sabah. Walaupunbegitu, rancangan Filiphina mendatangkan kemarahan Malaysia. Malaysia ketika itu dibawah Tunku Abdul Rahman dan Sabah dibawah Tun Mustapha Harun sebagai balas akan memberi bantuan kepada perjuangan MNLF. Marcos akhirnya menarikbalik tuntutan Filiphina ke atas Sabah, walaupun komitmen ini dibuat secara verbal, bukannya bertulis. Dengan syarat Malaysia menghentikan bantuan ke atas MNLF. 



Untuk memastikan Sabah terus berada dibawah Malaysia, maka beberapa dokumen sokongan perjanjian antara SBBU dan Kesultanan Sulu perlu diperolehi dan dipelihara. Dokumen penting ini tersimpan di Istana Malacanang. Tempat kediaman rasmi presiden Filiphina. Maka pada tahun1980an, sebuah operasi telah dirancang untuk mengambil dokumen tersebut. Operasi tersebut diberi nama Operasi Sabah Selamanya melibatkan 7 orang Komando Malaysia beserta beberapa kontek dari Filiphina. Walaupun operasi itu berjaya dihidu agensi perisikan Filiphina dan berlaku pentempuran, dokumen tersebut berjaya dibawa ke Kuala Lumpur.

Pengganti Marcos seterusnya menjadikan isu ini menjadi dormant apabila hubungan Kuala Lumpur-Manila dipulihkan semula. Namun begitu isu Sabah masih lagi dimainkan oleh sesetengah ahli politik, manakala gerakan pemisah Moro MNLF terus bergiat aktif dalam usahanya meraih perhatian antarabangsa.

Malaysia berusaha membantu mewujudkan perdamaian antara pejuang Moro dengan kerajaan Filiphina. Pertempuran bersenjata antara pejuang Moro (MILF, MNLF, Abu Sayyaf dan Keluarga diRaja Sulu) dengan Filiphina sedikit sebanyak menjejaskan keselamatan Sabah. Pada penghujung tahun 2012 Malaysia sebagai orang tengah Berjaya mendamaikan pertelagahan antara Filiphina dan pejuang Moro (ketika itu diwakili MILF). Kerajaan Filiphina bersetuju menubuhkan Wilayah Autonomi Bangsamoro untuk orang Moro di Sulu dan Mindanao. Namun begitu rundingan MILF-Manila-KL ini tidak disenangi oleh MNLF (diketuai Nur Misuari) dan ‘Keluarga Kiram’ kerana merasa terpinggir dari perjanjian tersebut. Kewujudan wilayah autonomi yang diusahakan MILF akan memadamkan pengaruh MNLF dan menyebabkan system “Sultan Sulu’ tidak lagi bermakna. Apabila hilangnya institusi Kesultanan Sulu maka berkemungkinan Malaysia tidak lagi membayar wang tahunan kepada ‘Keluarga diRaja Sulu’ lagi. Maka berlakulah apa yang dikatakan sebagai insiden Pencerobohan Pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.


Bagi mempertahankan kedaulatan negara dan keselamatan penduduk Sabah, pihak berkuasa Malaysia melancarkan Operasi Daulat. Para pengganas berjumlah 200 orang yang menggelarkan diri mereka ‘tentera diRaja Sulu’ telah diberi masa untuk berundur dari Sabah dan menyerah diri namun pengganas telah melakukan tipu daya dan serangan ke atas pasukan keselamatan menyebabkan beberapa anggota polis dan tentera terkorban. Banyak rumah penduduk kampung dan kemudahan awam turut rosak dan musnah.


Kombinasi antara pasukan keselamatan negara akhirnya Berjaya membendung tindakan pengganas. Sebahagian besar dari mereka Berjaya ditangkap dan ada yang terbunuh dalam pertempuran. Pengganas yang ditangkap akan didakwa di mahkhmah Malaysia dan sabit kesalahan boleh dihukum mati atas kesalahan melancarkan peperangan terhadap Yang DiPertuan Agong Malaysia. Dolak-dalih Manila dan cubaan Kiramuntuk merayu kepada Sultan Brunei gagal membantu pengganas untuk meneruskan serangan mereka ke atas Sabah. Bagi mempertingkatkan lagi tahap keselamatan dikawasan yang terjejas kerajaan Malaysia telah menubuhkan ESSCOM, dalam usaha mempergiatkan pengawasan di Pantai Timur Sabah. Usaha ini melibatkan kerjasama polis , tentera dan orang awam.



 USS GUARDIAN “Forerunner of freedom”

24 hari sebelum peristiwa pencerobohan pengganas di lahad Datu, sebuah kapal perang USA terdampar di Terumbu Karang Tubbuhata, Laut Sulu Filiphina. Kehadiran USS Guardian di kawasan panas beberapa hari sebelum peristiwa itu berlaku mengundang pelbagai spekulasi yang tak boleh dibiarkan begitu sahaja.


Pertamanya, USS Guardian adalah sebuah kapal perang, (milik USA pulak tuh!) dan bukannya sebuah bot pukat tunda nelayan, sudah tentulah kapal tersebut memiliki kelengkapan radar yang canggih. Keduanya, Tubbuhata merupakan kawasan perlindungan marin dan sudah tentu pihak berkuasa taman marin Filiphina bagi amaran kepada USS Guardian supaya jangan lalu kawasan itu. Tapi USS Guardian buat dek je, amaran tersebut tak diendahkan langsung!. Ketiganya, USS Guardian juga dengan sengaja mengubah dan menukar laluan asalnya! Kapal tersebut dalam perjalanan dari Subic Bay ke Indonesia. Sudah tentu di peta dan radar telah memaparkan kedalaman laut yang selamat untuk pelayaran sesebuah kapal !!!


Akhirnya 2.25 pagi waktu tempatan, USS guardian terkandas di terumbu tersebut, tindakan ombak menyebabkan kapal tersebut semakin hanyut kearah terumbu menyebabkan kerosakan kawasan perlindungan marin tersebut. Apabil pihak berkuasa marin filiphina cuba menghampiri kapal yang terkandas itu, mereka diberi amaran dan USS Guardian tidak teragak-agak untuk melepaskan tembakan. Akhirnya kapal USS Guardian dimusnahkan dan segala peralatan dan krew kapal dipindahkan terus ke Jepun dan bukannya ke filiphina ataupun Guam dimana lokasinya lebih dekat. Dikatakan proses pemindahan dan ‘operasi menyalamat’ ini dilakukan dengan secepat dan ‘serahsia’ yang mungkin.


USA, the master of deception and engineering destabilization melihat krisis tiga segi antara Malaysia, Sulu dan Filiphina sebagai satu peluang. Seandainya kita memahami modus operandi USA dan secret agentnya di kawasan berkonflik seperti Amerika Latin, Afrika dan Timur Tengah. Tentang bagaimana mereka memusnahkan ketua sesebuah negara dan menggantikannya dengan bonekanya, kita boleh agak apa yang USA mahukan.
USS Guardian “Forerunner of freedom”
Pertama, Laut Sulu dikatakan mempunyai simpanan minyak yang luas dan masih belum diterokai. USA, sebuah negara kapitalis sudah tentu mahu memastikan penguasaannya ke atas rizab minyak tersebut dengan mengarahkan syarikat minyak dan tenaga yang berpangkalan di USA merebut tender carigali minyak dikawasan tersebut. (Sila baca Confessions of An Economic Hitman oleh John Perkin mengenai bagaimana USA menguasai hasil minyak Amerika Latin dan negara-negara Arab). Kedua, USA mahu membina sebuah pangkalan tenteranya di situ. Seperti yang kita tahu USA dan filiphina mempunyai hubungan ketenteraan yang rapat. Tetapi itu belum cukup untuk menyekat kemaraan China yang rakus untuk menguasai kawasan Laut China Selatan (rujuk kes perebutan Kepulauan Spratly). Ketiga, melalui konflik ini juga USA berpotensi untuk menaikkan puppet clientnya dan menggantikan pemimpin yang sedia ada yang diharapkan kelihatan lemah dan gagal dalam menangani isu ini. Secara ‘kebetulan’ Malaysia dan Filiphina pada tahun 2013 menghadapi Pilihanraya Umum masing-masing.

(Walaupun begitu, kaitan antara USS Guardian dan situasi di Sabah masih lagi kabur dan samar serta terbuka untuk sebarang perbincangan.)

KESIMPULAN

Sama ada Filiphina ataupun Sulu, mereka tidak mempunyai hak untuk memisahkan Sabah dari Malaysia. Pada 1878, Sultan Sulu telah memajakkan pantai timur Sabah kepada SBBU. Manakala Suruhanjaya Cobbold yang ditubuhkan atas desakan Filiphina sendiri melaporkan rakyat Sabah mahu menyertai Malaysia iaitu pada 1963. Tuntutan Filiphina ke atas Sabah telah ditolak oleh PBB ketika itu.

Manakala bagi Sulu pula, sebelum mereka berfikir untuk menuntut Sabah dari Malaysia, lebih baik mereka menuntut dahulu ‘kemerdekaan’ Kepulauan Sulu dari Filiphina. Lebih membingungkan ada antara ‘kerabat diraja Sulu’ menyertai pilihanraya tempatan dan gabenor serta mempunyai hubungan baik dengan Manila. Kesultanan Sulu juga sudah tidak wujud lagi dengan bubarnya kedaulatan wilayah Sulu. Manakala Keluarga Kiram ketika ini pula bukanlah pihak yang berhak mendakwa diri mereka Sultan Sulu yang sah. Mereka juga tidak mendapat pengiktirafan dari Manila.


Disini juga kita melihat betapa pentingnya ilmu sejarah dalam permainan politik antarabangsa. Tuntutan Sulu ke atas Sabah bukanlah berlandaskan faktor pembangunan ekonomi atau social yang dilakukannya dahulu (jika adalah..) tetapi kerana faktor sejarah dan perjanjian. Dan dokumen-dokumen sejarah inilah yang dijadikan sebagai senjata dan hujah tuntutan di Mahkamah Antarabangsa. Oleh yang demikian peranan pihak Arkib dalam memelihara, memulihara dan melindungi dokumen dan monument sejarah amatlah penting. (Ruju kes Pulau Batu Putih: Malaysia vs Singapura dan kes Preah Vihear: Kemboja vs Thailand). Suka diingatkan juga kepada pihak yang mendakwa diri mereka sebagai ‘keluarga diraja Sulu’ yang masih mahu memainkan sentiment dan memutarbelit sejarah, bahawa Kesultanan Sulu diasaskan oleh seorang Ulama berketurunan Melayu-Arab iaitu Shariful Hashem Syed Abu Bakar pada awal 1457 manakala Kesultanan Maguindanao pula diasaskan oleh Ulama Melayu iaitu Shariff Mohammed Kabungsuwan diawal 1200an. Yang menariknya kedua-dua ulama ini datang dari negeri Johor Darul Takzim, sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia.



Buat pejuang negara terutamanya dikalangan PDRM, ATM dan APMM pengorbanan anda sungguh besar kepada kedaulatan dan keselamatan tanah air (Tabikkk!!!). Segala pengalaman pahit getir dan susah payah yang dialami oleh mereka tidak ramai yang tahu. Semoga pengkhianat negara dan pengganas yang tidak berperikemanusiaan ini mendapat balasan di atas apa yang mereka telah lakukan. Kepada penduduk Sabah khususnya dan Malaysia amnya, marilah kita berdoa untuk keselamatan dan perlindungan kedaulatan negara yang kita cintai, Malaysia dari tangan-tangan ghaib dan anasir-anasir jahat yang senantiasa mahu menggugat keamanan dan memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian kita di Malaysia.

Tinggi tinggi Gunung Kinabalu
Tinggi lagi sayang sama kamu
biru biru hujung kinabalu tengok dari jauh
hati saya rindu...


RUJUKAN
Military of Malaysia, Operasi Sabah Selamanya dan Operasi Daulat http://militaryofmalaysia.net/
How Brunei lost its northern province by Rozan Yunoshttp:// www. bt.com.bn /life/ 2008/09/21/ howbruneilostitsnorthernprovince
Artkel-artikel dari blog Ibnu Rusyd
Catatan dari Srikandi
WK Che Man; Masalah penduduk minority dalam pembinaan negara : Kes Moro di Filiphina dan Melayu di Negeri Thai.
The Corregidor Massacre by Paul F Whitman http://www.corregidor.org/heritage_battalion/jabidah.html
Oplan Merdeka and The Jabidah Massacre by Marites Danguilan Vitug and Glenda M. Gloria http://mnlfnet.com/Articles/Merdeka-Jabidah.htm
Malaysia Invaded: Hundreds of Terrorists Land on Beaches, Western Media Mute http://www.globalresearch.ca/malaysia-invaded-100s-of-terrorists-land-on-beaches-western-media-mute/5325621
North Borneo (Sabah): An annotated timeline 1640s-present http://www.quezon.ph/2013/03/01/north-borneo-sabah-an-annotated-timeline-1640s-present/
















0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...