Wednesday, 13 February 2013

The Last Lord of Ten Thousand Years and Son of Heaven: Pu Yi


 (kami di Kau Tahu Tak mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru Cina kepada pembaca kami yang berbangsa Tionghua)

Di saat orang Cina diseluruh dunia sedang bergembira menyambut kedatangan tahun baru, tahun Ular, mungkin sebahagian kecil masih lagi mengingati tarikh 12 Februari, di mana 101 tahun yang lalu menyaksikan Empayar China kehilangan maharajanya yang terakhir.



Penggunaan istilah Maharaja (Huang Di) China bermula ketika pemerintahan Dinasti Qin lagi iaitu apabila pengasasnya Zhao Zheng @ Shi Huang Di Berjaya menyatukan sebahagian Tanah besar China dibawah kekuasaannya. Maharaja China dikatakan memperolehi Mandat daripada Syurga untuk memerintah bumi (China). Berdasarkan konsep mandat ini, seseorang maharaja China berhak memerintah sesiapa sahaja dibumi asalkan baginda berlaku saksama. Seandainya seseorang maharaja itu berlaku zalim, maka pemberontakan adalah dibenarkan kerana “Syurga” telah menarikbalik mandat tersebut dan memberikannya kepada pihak lain. Kerana itulah sepanjang sejarah maharaja china terdapat beberapa Dinasti dari orang kebanyakan seperti Dinasti Han dan Dinasti Ming, malah terdapat  juga maharaja yang juga bukan dari etnik Han-Cina seperti Dinasti Yuan (Mongol) dan Dinasti Qing (Manchu). Berdasarkan mandat ini juga apa yang lebih penting ialah integriti dan keihsanan seseorang maharaja. Peristiwa kebuluran, penggulingan takhta dan ancaman semulajadi dikatakan merupakan petanda mandat dari syurga telah ditarik balik. Mandat ini juga berperanan untuk memastikan seseorang maharaja memerintah dengan adil dan baik. Maka disebabkan itulah ahli sejarahwan berpendapat empayar China merupakan antara empayar yang mempunyai system pentadbiran terbaik di zaman silam.


PENDAHULUAN

Bendera Dinasti Qing

Dinasti Qing menggambil alih takhta maharaja China dari Dinasti Ming. Walaupun pada asalnya Dinasti Qing tidak lagi meneruskan dasar tutup pintu Dinasti Ming, namun tindakan pihak barat yang mengancam kedaulatan China menyebabkan Dinasti Qing mengamalkan semula dasar tersebut. Hanya satu pelabuhan sahaja yang dibuka untuk kegiatan perdagangan oleh pihak Barat. 

British beberapa kali cuba untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan China namun gagal. Ini adalah kerana diplomat British enggan melakukan “kow tow” iaitu adat menyembah raja. British merasakan adat itu tidak perlu kerana berdasarkan Perjanjian Westphalia 1648 semua bentuk hubungan diplomatik adalah dasar persamaan taraf. manakala rakyat china pula menganggap China sebagai sebuah kuasa besar dan bertaraf tinggi kerana maharajanya ialah "Son of heaven" yang mendapat mandat untuk memerintah "All under heaven". Bagi rakyat China orang asing dari barat ini merupakan "fan kwae" iaitu hantu asing yang tidak bertamadun.

Selain daripada itu aktiviti ekonomi amat menguntungkan China berbanding barat. Barat memerlukan teh, sutera, batu jed, barangan porcelain dari China yang bernilai tinggi tetapi China tidak memerlukan barangan British. Oleh yang demikian British menyeludup masuk Candu yang dibawa dari India dan dipasarkan di China. Perdagangan candu menguntungkan British dan mengimbangi perdagangannya dengan China.


Ini menimbulkan kemarahan Dinasti Qing. Candu bukan sahaja menjejaskan ekonomi China malah merosakkan sosial dan moral rakyat china. Ramai yang menjadi penagih candu termasuk pegawai kerajaan. Kegiatan rasuah dan korupsi mula berleluasa kerana perniagaan candu amat menguntungkan. Akhirnya sosial rakyat china jatuh. Ini menimbulkan kemarahan Maharaja Qing dan mengarahkan perdagangan candu diberhentikan. British enggan, maka peti candu dirampas dan dimusnahkan serta pusat perdagangan British di china dikepung. Maka tercetuslah siri Perang Candu.


Perang Candu akhirnya dimenangi British yang mendapat bantuan dari Perancis, Rusia dan Amerika Syarikat. Akibanya, Dinasti Qing terpaksa membuka sebahagian besar pelabuhannya kepada kuasa Barat selain terpaksa menyerahkan beberapa wilayahnya kepada kuasa barat. Selain daripada itu Barat terus memonopoli aktiviti perdagangan di China dan menyebarkan fahaman Kristian dikalangan penduduk tempatan. Penduduk China yang sebelum ini tidak dibenarkan meninggalkan tanah besar China dibenarkan untuk dibawa keluar dari China. 

Kekalahan yang memalukan ini memberi tamparan hebat kepada dinasti Qing dan penyokongnya. Ketamakan Barat dalam menjarah ekonomi dan wilayah china serta penyebaran ajaran Kristian menyebabkan tercetus Pemberontakan Boxer yang berasal dari Pertubuhan Keharmonian dan Kebenaran (Righteous Harmony Society). Pemberontakan ini disokong oleh Dinasti Qing. Pemberontak Boxer bertindak ganas terhadap orang asing dan Cina Kristian. Akhirnya peperangan antara Pemberontak Boxer dan Tentera diraja Qing dengan gabungan 8 pasukan tentera barat (British, Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, Rusia, Itali, Jepun dan AustriaHungary)berlaku. Pemberontak boxer dan Dinasti Qing mengalami kekalahan teruk. Dinasti Qing terpaksa membayar hutang yang amat banyak kepada 8 negara yang terbabit, menghukum mati pegawai yang anti-orang asing dan menyerahkan sebahagian kedaulatan wilayahnya kepada 8 negara tersebut.


Dinasti Qing menjadi semakin tidak popular dikalangan rakyat. Malah ada dikalangan rakyat menyifatkan kegagalan dinasti Qing memajukan China seperti negara barat menyebabkan China kelihatan lemah dan memalukan. Gerakan menggulingkan dinasti Qing semakin ketara. 

PUYI

PuYi@Maharaja Xuantong, Maharaja Qing yang ke-12 dan Maharaja China yang ke-557 
Di saat kekecohan dan pergolakan yang berlaku di China, Baginda ketika itu hanya berusia 2 tahun ketika baginda dipisahkan secara paksa dengan bonda baginda untuk dibawa masuk ke dalam Kota Larangan untuk menghadap Maharani Balu CiXi yang ketika itu sedang nazak. Digelar ‘Old buddha’ kerana kepanjangan umurnya, Maharani balu merupakan pemerintah China disebalik tadbir yang mempunyai kuasa besar dalam mempengaruhi pentadbiran negara dan melantik maharaja. 

Maharani Balu Cixi
PuYi merupakan anak sulung kepada Zaifeng@Putera Chun pertama. Zaifeng merupakan adik-beradik tiri maharaja China sebelumnya iaitu Maharaja GuangXu. Maharani balu CiXi melantik PuYi sebagai maharaja Qing yang baru menggantikan maharaja GuangXu yang telah mangkat. Manakala ayahnya dilantik sebagai wakil pemerintahan kepada PuYi yang masih kecil.

PuYi berusia 3 tahun bersama bapanya Putera Zaifeng dan adiknya PuJie
Ketika istiadat pertabalannya pada Disember 1908, PuYi yang masih kecil duduk diatas Singgahsana Naga, meragam dan merengek untuk pulang ke rumah. Ayahnya terpaksa memujuknya supaya jangan menangis dan berkata, “….. segalanya akan berakhir tidak lama lagi…….”, kata-kata ini  dianggap terlarang oleh pembesar istana. Ternyata hanya beberapa tahun selepas itu riwayat Dinasti Qing berakhir. 

Di istana Kota Larangan, baginda di jaga oleh pengasuhnya, Wen-Chao Wang. Manakala pentadbiran negara dan di istana dibawah pentadbiran ayahnya sebelum digantikan oleh Maharani Balu LongYu.

REVOLUSI 1911 DAN TUMBANGNYA MAHARAJA CHINA

Kelemahan pentadbiran Dinasti Qing terutamanya dalam menghadapi ancaman kuasa barat dan korupsi pegawai istana menyebabkan rakyat bawahan bangun memberontak terhadap maharaja. Dinasti Qing juga gagal mengawal kedaulatan wilayahnya apabila semakin banyak wilayahnya diserahkan kepada kuasa Barat. Malah ada juga yang terpaksa dipajak untuk menanggung beban hutang negara yang semakin banyak. Dinasti Qing juga gagal untuk memenuhi kehendak golongan terpelajar China terutama yang berpendidikan Barat untuk memodenkan China sehingga mereke mendakwa China merupakan sebuah negara purba di dunia moden.

Dr Sun Yat Sen, Bapa Revolusi China
Terdapat beberapa pertubuhan bawah tanah dan kongsi gelap ditubuhkan untuk merancang penggulingan Dinasti Qing. Terdapat juga beberapa pemberontakan yang gagal dan perancangnya dibunuh oleh ejen Dinasti Qing. Pertubuhan ini akhirnya bersatu dibawah nama Tongmenghui dimana Dr Sun Yat Sen menjadi pengasasnya. Dr Sun bertanggungjawab dalam mengumpul dana bagi membiayai rancangan untuk menggulingkan Dinasti Qing. Pertubuhan ini mendapat sokongan kuat dari Orang Cina Seberang terutamanya di Singapura, Tanah Melayu dan Amerika. Dr Sun, seorang Protestant melaui Tongmenghui berhasrat untuk menghalau Manchu, memulih dan memodenkan China, mendirikan sebuah Republik dan membahagikan tanah secara adil. Tongmenghui mendapat sokongan kuat golongan Nasionalis dan Sosialis.

Namun kemuncak yang membawa kepada Revolusi 1911 ialah apabila pihak istana merancang untuk memiliknegarakan 2 buah projek keretapi yang dikendalikan penduduk tempatan untuk dipindahkan kepada pelabur asing bagi membayar semula hutang kerajaan Qing kepada Britain, Amerika Syarikat, Jerman dan Perancis akibat insiden Pemberontakan Boxer. Dinasti Qing terpaksa menghadapi pemberontakan rakyat dan pengkhianatan pasukan tentera yang menentang rancangan tersebut. Dinasti Qing terpaksa mengharapkan Yuan Shikai dan tentera Beiyang yang merupakan tentera yang paling terlatih dan tercanggih ketika itu dalam menghadapi pemberontak.

Yuan Shikai
Pengkhianatan Yuan Shikai terhadap Dinasti Qing menjadi punca terhapusnya monarki China. Yuan Shikai yang mengepalai tentera Beiyang berkemampuan untuk menewaskan pemberontak namun enggan berbuat demikian jika tidak ada peruntukan tambahan terhadap pasukannya. Dinasti Qing yang sedang menanggung beban hutang yang banyak tidak mempunyai pilihan. Rundingan dijalankan antara pihak istana, Yuan Shikai dan pendukung republik.

Maharani Balu LongYu yang bertindak sebagai wakil pemerintahan PuYi akhirnya bersetuju untuk turun takhta. Kelangsungan 2000 tahun Maharaja China berakhir pada 12 Februari 1912. Manakala Dr Sun Yat Sen pula dipilih sebagai Presiden Republik China yang baru.
Bendera 5 races under One Union yang digunapakai oleh dr Sun mewakili Republik China yang baru melambangkan etnik Han, Manchu, Mongol, Hui/cina Muslim dan Tibet
PUYI SELEPAS REVOLUSI


Walaupun terpaksa turun takhta ketika berusia 6 tahun, PuYi dan keluarganya masih dibenarkan untuk tinggal di Kota Larangan. Baginda hidup terkurung di dalam kota tanpa menyedari pergolakan yang berlaku di sebalik tembok. Keadaannya yang terkurung dan disisihkan menambahkan lagi kemurungan kepada PuYi terutama apabila mendapati sebahagian daripada pegawai istana dan sida-sida mula mengkhianati baginda dengan mencuri khazanah harta yang terdapat di Kota Larangan. Makam-makam nenek moyang baginda digeledah dan dirosakkan manakala harta perhiasan dicuri dan dirampas.

Pada usia 19 tahun PuYi dan keluarganya dihalau keluar dari Kota Larangan setelah 16 tahun tinggal di dalam kota tersebut. Baginda diusir dari kota tersebut ketika China sedang bergelut dalam peperangan antara jeneral tentera yang ingin merebut kuasa. Beberapa pegawai istana yang masih setia dengan PuYi membuat perancangan untuk meletakkan semula PuYi ke atas takhta dan sebahagian besar dari mereka mahukan campur tangan kuasa luar untuk melakukan perkara tersebut.

Jepun yang ketika itu sedang berperang dengan China mengambil kesempatan ini untuk memujuk PuYi menyokong kempen ketenteraan Jepun ke atas China. PuYi dibawa ke Jepun bertemu Maharaja Hirohito. Kemudiannya PuYi ditabalkan sebagai Maharaja Manchukuo, sebuah negara boneka yang dicipta Jepun untuk orang Manchu. Manchukuo dijadikan sebagai tapak landasan Jepun terhadap serangannya ke atas china. PuYi sekali lagi menjadi Lord of the Ten Thousand Years.
Namun Puyi hanyalah raja boneka. Segala urusan pentadbiran dikuasai oleh tentera Jepun. Sehinggakan dalam sistem pendidikan pun, bahasa Jepun digunakan mengatasi bahasa Manchu. PuYi hanyalah simbol raja yang tidak berdaulat. PuYi berharap Jepun kalah dalam perang Dunia Kedua supaya Manchukuo dapat membebaskan diri dari Jepun. PuYi memerintah Manchukuo selama 13 tahun.
PuYi sebagai Maharaja Kangde, Manchukuo 
Jepun kalah dalam perang Dunia Kedua. Nasib PuYI menjadi lebih malang apabila ditangkap oleh tentera Soviet Union ketika cuba melarikan diri ke Jepun. Baginda ditahan di Soviet selama 5 tahun sebelum dibawa ke China sebagai antara salah satu perjanjian Sino-Soviet.

China ketika itu telah dikuasai oleh Komunis. PuYi dimasukkan ke dalam Penjara Penjenayah Perang Fushun selama hampir 8 tahun. Ketika di pusat tahanan tersebut, PuYi terpaksa hidup berdikari, segalanya harus dilakukan sendiri. Layanan diraja sudah tiada, malah baginda diherdik dan dijadikan bahan jenaka oleh orang-orang tahanan di sana. PuYi juga menjalani program pemulihan dan brainwash dimana baginda dipaksa mengakui kesalahannya dalam penglibatannya semasa Perang Dunia Kedua dan juga dipaksa menerima fahaman komunis dan sistem pentadbiran berasaskan Republik.

Tamat tempoh penahanan, baginda akhirnya kembali ke Peking sebagai seorang rakyat biasa dan tinggal bersama adik-beradiknya. Baginda kemudiannya bekerja di Taman Botanikal Beijing. Lima tahun kemudian baginda berkecimpung dalam bidang penulisan dilantik oleh Mao Zedong menganggotai Majlis Kongress sebagai wakil masyarakat Manchu. Baginda kadangkala melawat rumah lamanya, Kota Larangan sebagai pelancong tempatan.


Ketika Revolusi Kebudayaan dilancarkan Komunis dibawah arahan Mao Zedong, PuYi, maharaja terakhir China akhirnya mangkat pada usia 61 tahun. 

CHINA SELEPAS REVOLUSI 1911

Untuk memastikan China tidak terjerumus ke dalam perang saudara Dr Sun Yat Sen bersetuju untuk menyerahkan jawatan Presiden kepada Yuan Shikai yang mempunyai latar belakang ketenteraan. Yuan Shikai kemudiannya mengisytiharkan dirinya sebagai Maharaja china yang baru. Namun begitu tindakan tidak popular ini mendapat bantahan dari golongan republik dan nasionalis. Yuan Shikai mati tidak lama kemudian meninggalkan kekosongan jawatan yang akhirnya direbut dikalangan para Jeneral tentera. China akhirnya berpecah belah dimana kawasannya dibahagikan diantara jeneral-jeneral tentera yang berkuasa.
Chiang Kai Shek
Pada tahun 1928, dibawah pimpinan Chiang Kai Shek dari Kuomintang, barulah China akhirnya dapat disatukan kembali dibawah satu parti pemerintahan. Chiang merupakan pengganti Dr Sun di dalam Kuomintang. Dalam usahanya menyatukan China, Chiang mendapat sokongan dari Komunis china dan juga Soviet Union.

Namun begitu akibat perbezaan ideologi antara golongan Nasionalis Kuomintang pimpinan Chiang Kai Shek dengan golongan Komunis China pimpinan Mao Zedong akhirnya tercetuslah Perang Saudara China yang berlangsung selama hampir 23 tahun. Dalam sela masa tersebut berlakunya pencerobohan tentera jepun ke atas China menyebabkan perang saudara tergendala seketika supaya rakyat china bersatu menentang penjajahan Jepun. Namun perang saudara bersambung semula selepas Jepun mengalami kekalahan dalam Perang Dunia Kedua.
Perang Saudara China antara Nasionalis Kuomintang dan Komunis China
Perang saudara yang berakhir pada 1950 akhirnya dimenangi oleh pihak Komunis China. Pihak nasionalis Kuomintang diketuai Chiang akhirnya berundur ke Taiwan dan menubuhkan sebuah republik di sana. Sehingga hari ini hubungan antara Tanah Besar China dan Taiwan masih lagi renggang berikutan masing-masing mendakwa mereka merupakan wakil kepada ‘Republik China’ yang diasaskan setelah runtuhnya Dinasti Qing. Hampir 6 juta rakyat china terkorban dalam perang saudara tersebut.

Mao Zedong
Mao Zedong yang mengetuai Parti Komunis China akhirnya menggantikan Chiang sebagai pemerintah tanah besar China. Dibawah pentadbirannya Mao memperkenalkan beberapa dasar  dan kempen seperti Great Leap Forward yang bertujuan untuk merubah ekonomi China dari pertanian kepada pengindustrian dan juga Revolusi Kebudayaan yang bertujuan untuk mengukuhkan fahaman komunis di china dengan menyingkirkan golongan kapitalis, Tradisionalis , elemen kebudayaan dan tradisional dari masyarakat China kearah Republik China yang moden.

SEKARANG

Kini, walaupun Tanah besar China masih lagi dikuasai Komunis, republik tersebut mengamalkan dasar pasaran bebas dan ekonomi terbuka. Di tambah lagi dengan mempunyai tenaga buruh yang ramai dan murah, pembangunan ekonomi China semakin pesat. Di Asia, China dapat memintas Jepun dan Korea Selatan sebagai kuasa utama Asia, malah ahli ekonomi meramalkan China bakal menggantikan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah sebagai kuasa ekonomi utama dunia. Selain dari itu China juga merupakan salah satu kuasa besar dunia dan merupakan salah satu dari 5 ahli tetap majlis keselamatan PBB yang mempunyai kuasa veto.

KESIMPULAN

Selepas melalui beberapa siri revolusi dan perang saudara yang memakan masa puluhan tahun dan mengorbankan jutaan nyawa manusia, China akhirnya muncul sebagai sebuah negara kuasa besar dunia yang dihormati kawan dan lawan. Adakah ini merupakan petanda China sudah tidak memerlukan lagi Mandat dari Syurga untuk memastikan China mempunyai pemimpin dan pemerintah yang berwibawa, yang mampu mentadbir sebuah negara yang besar, yang telah wujud ribuan tahun dahulu?
Singgahsana Naga
p/s; “the opium war was fought to end forever China’s assumption of superiority to all other nations”.- “The Opium Wars in China” oleh Edgar Holt 

RUJUKAN

Wikipedia
Sejarah perubahan oleh T S Kon
Puyi: Kisah tragis kaisar teakhir China oleh Wijatnika
Pu Yi: Daripada raja menjadi rakyat biasa oleh Datuk Ruhaidini Abd. Kadir
filem The Last Emperor (1987) arahan Bernardo Bertolucci
filem 1911 Revolution (2011) arahan Jackie Chan dan Zhang Li
Siri artikel ‘Li Bloodline’ oleh Mistisfiles
http://history.cultural-china.com

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...